JAMBI: Video menunjukkan anggota polis dari daerah Muaro di Jambi bertindak membuka pintu penjara demi menunaikan hasrat seorang banduan yang ingin memeluk anak perempuannya tular di media sosial baru-baru ini.
Lapor Kompas.com, anggota polis bernama Bripka Handoko berkata, ketika itu si anak datang bersama abangnya menghantar makanan kepada bapanya untuk berbuka puasa.
Bripka yang bertugas di Balai Polis Maro Sebo mengakui sebak dan tersentuh hati melihat kanak-kanak perempuan berkenaan hanya mampu dipeluk bapanya dari balik jeriji besi selepas menyerahkan makanan tersebut.
Dia kemudian membuka pintu sel tersebut secara spontan kerana tidak sanggup melihat situasi itu.
“Sebaik saya membuka pintu, anak banduan itu terus berlari dan segera memeluk bapanya. Saya sempat membenarkan dua beranak itu melepaskan rindu, bermain dan bergurau sebentar sebelum kembali menutup pagar.
“Saya sudah beritahu pihak atasan bahawa jika saya salah saya bersedia menerima akibatnya,” katanya.
Menurut Bripka, isu keselamatan tidak menjadi masalah kerana terdapat dua lapisan pagar di tapak tersebut dan sebelum pintu dibuka, terdapat satu lagi pintu sel tambahan di belakang yang sudah dikunci.
Malah dia tidak menyangka videonya itu tular hingga mendapat perhatian jutaan warganet yang turut terharu dan memuji empati ditunjukkan Bripka selain mendoakan agar banduan yang ditahan kerana kes kecurian itu diberi hidayah.