SABAH tidak akan berganjak daripada keputusan awalnya untuk membenarkan orang ramai makan di premis restoran, kedai makan dan hotel di negeri itu.

Ketua MenterI Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kelonggaran itu berkuatkuasa pada 29 Jun lalu susulan pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang masih berkuatkuasa.
“Ini adalah pendirian kami,” kata Hajiji dalam satu kenyataan DI Kota Kinabalu hari ini.
Pengumuman kerajaan Sabah disambut baik oleh rata-rata pengusaha restoran dan kedai makan serta orang ramai selepas Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam gagal menyebut secara khusus sama ada ‘dine-in’ dibenarkan atau tidak.
SOP itu dikeluarkan kelmarin sebelum peralihan negeri itu ke Fasa Kedua PPN yang bermula hari ini (Sabtu).
SOP di bawah Fasa Kedua di Sabah menyatakan bahawa restoran, kafe, kedai makan, trak makanan, gerai tepi jalan atau bergerak akan dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 9 malam menerusi pembelian secara bungkus, pandu lalu atau penghantaran.
Namun, tidak seperti SOP Fasa Kedua di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang, yang secara khususnya melarang ‘dine-in’, senarai di Sabah pula langsung tidak menyebut perkara itu.
Sementara itu di KENINGAU (Pedalaman Sabah), orang ramai mulai memenuhi restoran dan kedai makan selepas ‘dine-in’ dibenarkan, sekali gus melegakan rata-rata pengusaha yang terpaksa menutup perniagaan sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beberapa buah pasaraya, kedai alat ganti dan gerai tepi jalan dilihat mulai menjadi tumpuan pengguna dengan tidak mengabaikan pematuhan SOP. – Oleh: EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA