Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah dalam kumpulan C bola sepak Sukma

0

Oleh DG HENRY

SABAH disenaraikan dalam Kumpulan C bersama Terengganu dan Kelantan acara bola sepak temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 di Kuala Lumpur bulan depan.

Mengikut jadual perlawanan yang diterima, Sabah dijadualkan bertemu pasukan Terengganu pada 13 September ini disusuli perlawanan menentang Kelantan pada 17 September ini.

Pasukan Sabah akan berangkat ke ibu negara pada 1 September dan dijangka mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan di sana sebagai persiapan terakhir menghadapi perlawanan sebenar.

Pengurus pasukan, Mohd Khairul Nizaem Moktar sebelum ini menyatakan bahawa pasukannya akan berusaha melakukan yang terbaik dan mensasarkan pingat emas dalam saingan SUKMA kali ini.

Katanya, pasukan itu di bawah kendalian jurulatih Adzrien Harun dan penolongnya Sudirman Garamah sudah menjalani latihan intensif termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan persabahatan di sini.

Perlawanan persahabatan di ibu negara akan menjadi persiapan terakhir mereka sebelum menggalas cabaran dalam saingan perlawanan sebenar nanti.

Kumpulan A terdiri daripada Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan, Kumpulan B dianggotai Pahang, Johor, Sarawak dan Melaka manakala Kumpulan D membabitkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Peringkat suku akhir dijadualkan pada 19 September dan separuh akhir pada 21 September ini. Manakala perlawanan akhir akan diadakan pada 23 September ini.

Pada SUKMA 2012, Sabah merangkul pingat emas acara bola sepak dan memenangi pingat gangsa pada SUKMA di Perak pada 2018.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.