Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah Investment Plan: Strategi Pelaburan SMJ 2.0 – Ewon

0

Oleh Mohd Khairy alaysia), 8 Dis 2025 — Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengumumkan bahawa Sabah Investment Plan (SIP) oleh Invest Sabah akan dikemukakan kepada kementeriannya sebelum dijadikan input rasmi dalam pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

SIP dirangka sebagai pelan lima tahun (2025–2030) bagi memperkukuh Sabah sebagai destinasi pelaburan kompetitif di peringkat serantau.

“Saya menyokong penuh cadangan Invest Sabah untuk mengemukakan SIP dan mencadangkan agar ia dijadikan input kementerian dalam Halatuju SMJ 2.0. Ini penting bagi memastikan agenda pelaburan negeri selari dengan sasaran pembangunan ekonomi,” kata beliau selepas mengadakan lawatan kerja ke Invest Sabah di Plaza Shell, di sini, hari ini.

Taklimat mengenai peranan Invest Sabah dalam mempromosikan potensi pelaburan Sabah kepada pelabur domestik dan antarabangsa disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Firdausi Suffian.

Ewon berkongsi wawasan kementeriannya, termasuk rancangan promosi pelaburan ke pasaran global seperti Asia Tenggara, Eropah, dan destinasi strategik lain, bukan hanya China. Beliau juga menekankan kepentingan penyelarasan peranan antara Invest Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA), agar setiap agensi mempunyai fokus jelas: Invest Sabah memacu promosi pelaburan, manakala SEDIA menumpu pembangunan infrastruktur dan sokongan pelaburan di taman-taman perindustrian.

“Pelaburan yang masuk ke Sabah tidak boleh tertumpu hanya di Kota Kinabalu, Sipitang, Lahad Datu, Kota Belud, Kudat dan Kimanis. Limpahan pelaburan mesti menjangkau seluruh negeri,” tambah beliau.

Ewon menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, bagi mengekalkan Sabah sebagai destinasi pelaburan utama negara.

Beliau yakin Invest Sabah akan terus menyumbang kepada usaha menarik pelaburan domestik dan asing ke negeri ini, sambil memperkukuh pasukan Sabah First untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada semua pemegang taruh.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin; serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan Invest Sabah.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.