KENINGAU (Sabah, Malaysia): Datuk Sairin Karno mengesahkan terdapat ahli Umno telah berpaling tadah dan menyertai pembangkang tanpa meletakkan keahlian mereka secara bertulis.
“Keadaan ini kita akui,” katanya ketika menjawab soalan wartawan semasa ditemui di majlis pelancaran Ops Selamat anjuran Ibu pejabat Polis daerah Keningau.
Ketua Umno Bahagian P 180 Keningau itu bagaimanapun telah menyeneraikan nama-nama ahli parti yang terlibat untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Displin Ibu Pejabat Umno pusat untuk tindakan seterusnya.
Katanya, parti di peringkat bahagian tidak mempunyai bidang kuasa untuk memecat mana-mana ahli yang berpaling tadah, tetapi mempunyai peranan untuk menghantar laporan yang merangkumi senerai nama serta latar belakang ahli-ahli yang terlibat.
Sairin yang merupakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, bilangan ahli yang telah berpaling tadah tidak menjejaskan kekuatan Umno di peringkat bahagian.
“Ia hanya segelintir,” katanya dan menambah bilangan keahlian Umno di bahagian itu sentiasa bertambah pada setiap hari.
Jelasnya, bilangan menyertai parti Umno semakin ramai berbanding jumlah ahli yang berpaling tadah.
Mengenai PRU-14, pembantu menteri itu memberitahu bahawa bahagiannya telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya.
Beliau optimis bahawa Barisan Nasional (BN) masih menjadi pilihan rakyat di kawasan itu, tetapi mengingatkan jentera partinya supaya sentiasa turun padang untuk mengenal pasti keperluan-keperluan rakyat, khususnya di kawasan yang berisiko pengaruh pembangkang.
Menjawab satu soalan yang lain, Sairin menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan maklumat tidak sahih yang disebarkan melalui media sosial.