PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta di Istana Negara, hari ini.
Dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit bermula pada pukul 3.00 petang itu, Seri Paduka dan Ramos-Horta menyentuh berkenaan hubungan dua hala dan beberapa isu-isu kepentingan bersama antara Malaysia dan Timor-Leste.
“Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar hubungan dua hala antara kedua-dua negara dapat dipertingkat di dalam pelbagai aspek demi kepentingan bersama,” kata Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook.
Sebelum menghadap Seri Paduka, Presiden Timor-Leste mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya.
Pemimpin itu kini dalam lawatan khas ke Malaysia.
Pada 2021, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste berjumlah AS$23.8 juta. Sehingga bulan Oktober tahun ini (2022), jumlah dagangan yang telah direkodkan adalah sebanyak AS$84.6 million. Pada tahun 2021, Malaysia adalah rakan dagangan kelapan terbesar Timor-Leste.