KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Silent Teddies, sebuah perusahaan sosial yang memfokuskan kepada komuniti pekak melalui perniagaan bakeri dan kafe, wajar dijadikan model nasional bagi pembangunan ekonomi inklusif, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Ewon Benedick pada Khamis.
Beliau berkata, usaha Silent Teddies bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, tetapi turut melibatkan mereka secara aktif dalam ekonomi negara.
“Saya berbangga melihat inisiatif sosial yang memberi tumpuan kepada kumpulan sasar seperti ini, kerana ia mencetuskan rasa kebersamaan dan memperkukuh penyertaan mereka dalam arus perdana ekonomi,” katanya semasa lawatan ke Pusat Perkhidmatan Komuniti Orang Pekak di ibu negara.
Silent Teddies, yang telah menerima penarafan rasmi Perusahaan Sosial daripada kementerian, kini membimbing 15 usahawan muda pekak di bawah program Teenager Entrepreneurial Development (TED). Perusahaan itu, yang memiliki sijil halal, menghasilkan pelbagai produk bakeri termasuk biskut dan tart nenas, dengan lebih 100 individu daripada komuniti OKU serta B40 telah mendapat latihan kemahiran di pusat berkenaan.
Ewon berkata pembangunan perusahaan sosial akan terus menjadi tumpuan utama kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan sokongan meliputi insentif, akses pasaran dan kerjasama sektor swasta.
Malaysia turut akan menganjurkan Forum Perniagaan Inklusif ASEAN ke-8 (ASEAN IB Forum 2025) pada 11–12 September di Sunway Resort Hotel, diikuti ASEAN Inclusive Business and Social Enterprise Showcase 2025 pada 11–14 September di Sunway Pyramid. Silent Teddies akan menjadi antara peserta pameran utama mewakili perusahaan sosial negara.
Turut hadir pada lawatan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Viviantie Sarjuni, dan pengasas Silent Teddies Cindy Leong.
![]()