Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Singapura Berpisah Malaysia selepas dua tahun bersama

0

TARIKH 9 Ogos 1965 mencatatkan satu peristiwa penting apabila Singapura dipisahkan daripada Malaysia setelah lebih dua tahun bersama sebagai sebuah negara.

Mana tidaknya, Singapura menerusi People’s Action Parti (PAP) mahukan Malaysian Malaysia dan hak sama rata diberikan kepada keseluruhan rakyat yang ada dalam Malaysia.

Manakala UMNO lebih menjurus kepada hak istimewa orang asal di Tanah Melayu perlu dipelihara dan boleh dikatakan lebih bersifat pro-Melayu, seperti yang sepatutnya.

Oleh sebab wujud perbezaan kehendak dan motif politik ini sehingga tercetusnya rusuhan kaum di Singapura dan sebagainya, langkah drastik diambil oleh kedua-dua pemimpin.

Pada ketika itu, pemimpin yang bertanggungjawab mengenai situasi ini adalah Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Lee Kuan Yew mewakili Singapura.

Pada tarikh yang sama iaitu 9 Ogos 1965, Tunku mengumumkan di Parlimen mengenai keputusan kerajaan untuk memisahkan Singapura daripada Persekutuan Malaysia.

Dalam ucapannya, Tunku menghuraikan latar belakang yang menyebabkan beliau mengambil keputusan mengejut untuk memisahkan Singapura meskipun sudah lebih dua tahun bersama.

Hal ini demikian kerana tidak ada pilihan lain kecuali menyingkirkan Singapura yang mem­belakangkan segala keputusannya dengan Kerajaan Pusat.

“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk menge­lakkan pemisahan Singapura dari Malaysia tetapi kami tidak ada pilihan lagi ke­cuali menyingkirkannya,” ulas Tunku mengenai tindakan kontroversinya itu.

Harap Tidak Jejaskan Keselamatan Malaysia

Pada 11 Ogos 1965, Tunku memaklumkan kepada Perdana Menteri British, Harold Wilson tentang pemisahan Singapura daripada Malaysia serta langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia.

Hal ini adalah untuk memastikan Singapura tidak menjejaskan keselamatan Malaysia dan keputusan nekad Tunku mengejutkan British kerana dibuat tanpa berunding seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Tunku berkata, beliau senga­ja tidak berunding de­ngan pihak British, Australia dan lain-lain kerana bimbang mereka mungkin menahannya daripada menyingkirkan Singapura.

Menurut Nik Anuar Nik Mahmud dalam buku Konfrantasi Malaysia-Indonesia (2000), sebenarnya hubungan antara Kuala Lumpur dengan Singapura tidak mesra sejak koloni itu menyertai Malaysia pada 16 September lagi.

Malah pimpinan Singapura telah bergeser dengan pimpinan Tanah Melayu ketika rundingan menggubal Perlembagaan Malaysia pada peringkat akhir lagi.

Melihat kepada sikap degil Singapura itu, Tunku pernah mengugut untuk membentuk Malaysia tanpa Singapura dan keadaan itu hanya dapat diselamatkan dengan campur tangan pihak British.

Kuan Yew Kritik Tunku Secara Terbuka

Tindakan Lee Kuan Yew mengkritik Tunku secara terbuka kerana bersetuju mengubah tarikh penubuhan Malaysia daripada 31 Ogos kepada 16 September 1963, turut menyinggung pe­rasaan Tunku.

“Selain itu Kuan Yew juga mem­belakangkan Tunku apa­bila mengisytiharkan kemerdekaan Singapura secara unilateral pada 31 Ogos 1963.

“Pergeseran antara Tunku dengan Lee Kuan Yew me­m­uncak selepas pilihan raya Singapura pada bulan September 1963. Pada pilihan raya itu semua calon UMNO-Perikatan Singapura kalah di tangan PAP,” (Nik Anuar Nik Mahmud 2000 : 190).

Tunku terkejut kerana beliau menaruh harapan yang tinggi dengan kemasukan Si­ngapura ke dalam Malaysia, maka orang Melayu yang menjadi minoriti di pulau itu akan terus menyokong UMNO malah menjadi pengikut setia yang lebih kuat.

Sebaliknya, dengan wajah muram Tunku telah melihat partinya di Singapura dihancurkan sama sekali oleh Kuan Yew.

UMNO Singapura menerima kekalahan yang memalukan itu dengan penuh emosional. Pada 27 September 1963, ahli UMNO Singapura membakar patung Kuan Yew.

Lily Zubaidah Rahim dalam bukunya, Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu (2004) menyatakan, sepanjang tempoh penyatuan Singapura ke dalam Malaysia, Kuan Yew mencabar kedudukan dan hak istimewa berperlembagaan orang Melayu di Malaysia de­ngan mengatakan taraf pribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika diban­dingkan dengan orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain.

“Didorong sama ada oleh agenda politik yang menjurus untuk memajukan kepenti­ngan politik PAP atau pun ke­rana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya dan penduduk pribumi di rantau ini, Kuan Yew mengaitkan orang Melayu Malaysia daripada keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain” (Lily Zubaidah Rahim 2004: 20).

Indonesia Bersorak Malaysia – Singapura Berpisah

Indonesia pula me­nyambut baik Perpisahan Malaysia-Singapura dengan reaksi yang penuh gembira. Dalam propagandanya, Indonesia menekankan bahawa kepercayaan­nya selama ini bahawa Malaysia adalah projek neokolonialisme dan harapannya tidak lama lagi ia akan berkecai, seperti yang terjadi kepada Persekutuan Afrika Tengah dan Persekutuan Hindia Barat.

Menteri Luar Indonesia, Dr. Subandrio dalam ulasannya menyatakan, perpisahan itu membuktikan tohmahan Indonesia selama ini Malaysia adalah projek neokolonial, ternyata benar!

Bagi pemimpin Malaysia, pemisahan Singapura dan Malaysia tidak menjejaskan ke­utuhan Malaysia, sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukannya serta melepaskan dirinya daripada bebanan politik yang terpaksa didukungnya.

Tun Abdul Razak pula meng­anggap kehadiran Singa­pura dalam Malaysia selama ini umpama ‘duri dalam da­ging’ yang lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan yang diperolehinya. Malah penyingkiran Singapura suatu rahmat yang tersembunyi.

Politik Hancurkan Alam Melayu

Namun demikian, kisah yang dirakam hanyalah secebis bukti bahawa politiklah yang menyebabkan alam Melayu ini musnah dan terus berpecah-pecah.

Sebelum kehadiran Bristish dan penjajah lain sebelumnya, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka itu meliputi Singapura, Johor hingga ke Perlis, Sabah dan Sarawak malah beberapa pulau-pulau di Indonesia.

Mahu atau tidak mahu, alam Melayu ini wujud di atas Pentas Sunda dan terpisahnya kerana banjir besar dan gempa bumi yang berlaku sejak dahulu.

Selain itu kerana ada pembelotan demi kepentingan, ia memberikan kesan yang sangat tragis kepada semua pihak sehingga generasi hari ini pula yang terpaksa menanggungnya.

Jika tidak, Kesultanan Melayu Melaka pasti boleh terus megah dan besar menjadi tamadun yang cukup agung di muka bumi ciptaan Allah SWT ini. SM

 

 275 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.