Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

SKM lulus RM1.026 juta kepada 94 koperasi  – Ewon

0

TENOM: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.026 juta kepada 94 koperasi di seluruh negara di bawah Program Jejak Koperasi, jelas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

“Pembiayaan besar ini sebagai usaha memperkasa sektor koperasi negara,” Tambahnya Ketika berucap merasmikan Mini Karnival Koperasi Peringkat Daerah Tenom 2025 di Dewan Terbuka Kampung Paguakon, di sini, Jumaat.

Menteri itu memberitahu, jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM2 juta yang diperuntukkan SKM bagi melaksanakan program tersebut melibatkan penyertaan 160 koperasi.

Program Jejak Koperasi merupakan inisiatif khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM yang  diperkenalkan pada tahun lepas yang fokusnya membantu mempersiapkan koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan dan hospitaliti bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Program itu  menyediakan insentif khas kepada pemasaran produk dan perkhidmatan mereka lebih awal dari kempen Tahun Melawat Malaysia.

“Disamping itu, sebanyak RM642 ribu turut diperuntukkan bagi Program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan keterlibatan koperasi dalam aktiviti ekonomi setempat dan memberi manfaat terus kepada masyarakat,” katanya.

Ewon berkata, sejak penubuhan koperasi pertama negara pada 21 Julai 1922, gerakan koperasi telah berkembang menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara dengan 16,284 koperasi aktif dan lebih 7.2 juta anggota.

“Koperasi di seluruh negara kini memiliki syer dan yuran mencecah RM18.3 bilion, aset RM173 bilion, dan perolehan tahunan sekitar RM68.18 bilion. Ini membuktikan potensi besar sektor ini dalam menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata perkembangan sektor koperasi turut didorong oleh pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM 2021–2025), yang telah menyumbang kepada peningkatan 101% pendaftaran koperasi baharu dari tahun 2021 hingga 2024.

“Kerajaan juga sedang menggubal pindaan terhadap Akta Koperasi 1993 untuk memperkukuh kerangka perundangan agar lebih progresif dan mesra koperasi, seiring aspirasi semasa dan masa depan,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.