Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

TABS rancang perbanyakkan kejohanan untuk pelatih

0

Oleh DG HENRY

Lokman menyampaikan trofi kepada pemain terbaik B18, Adam Aiman

TABS SAFA Bandaraya Kota Kinabalu merancang untuk mengadakan lebih banyak kejohanan bola sepak peringkat umur untuk pelatih susulan sambutan baik terhadap karnival bola sepak B18, B14 dan B12 tahun yang berakhir kelmarin.

Pemain terbaik B14, Mohammad Ikhman menerima trofi yang dimenangi

Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim, berkata, karnival anjuran unit kejurulatihan TABS selama dua hari itu ternyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada kalangan pelatih.

Aksi perlawanan akhir B14 antara pasukan Chelsea dan Liverpool

Katanya, berikutan itu, unit kejurulatihan merancang untuk memperbanyakkan kejohanan serupa itu bagi membolehkan pelatih terbabit berpeluang memperlihatkan bakat mereka menerusi pertandingan.

“Ini peluang mereka menunjukkan bakat menerusi pertandingan memandangkan mereka hanya didedahkan dengan sesi latihan dijalankan jurulatih masing-masing pada setiap hujung minggu,” katanya selepas melakukan penutupan karnival bola sepak tunas asas TABS SAFA Bandaraya di sini, kelmarin.

Lokman berkata, pihaknya menghargai dan berterima kasih atas komitmen unit kejurulatihan TABS untuk terus berusaha mengadakan program sedemikian untuk pelatih-pelatihnya.

“Kita memiliki barisan jurulatih bukan sahaja bertauliah tetapi sentiasa berusaha menggilap bakat pelatih-pelatih terutama menerusi penganjuran kejohanan membabitkan peringkat umur,” ujarnya.

Sambil mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad dan penolongnya, Roslan Wasli, beliau juga berharap sesi latihan hujung minggu pelatih akan dapat diteruskan selepas dalam masa dua tahun sebelum ini sering terganggu akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, pasukan Arsenal menjuarai kategori B18 tahun karnival itu setelah menang tipis 1-0 ke atas Manchester United pada perlawanan akhir.

Tempat ketiga dimenangi pasukan England. Pemain Adam Aiman Rahsid dipilih sebagai pemain terbaik kategori B18 tahun.

Manakala bagi kategori B14, juara dimenangi pasukan Chelsea dan Liverpool menduduki naib juara.

Pasukan Arsenal pula memenangi tempat ketiga. Mohammad Ikhman Adied dipilih sebagai pemain terbaik kategori B14.

Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Naib Ketua Umno Bahagian Papar, Hasrul Awang Tuah, Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye, Setiausaha TABS, Amsir Abdullah dan ketua jurulatih skuad Piala Presiden Sabah FC, Jelius Ating.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.