Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Teruskan momentum untuk hadapi Piala Borneo – Lokman

0

Oleh DG HENRY dan EKOK AMIN

Pengurus pasukan, Norjali Milin menerima medal dan sijil yang disampaikan wakil penganjur Liga Suparimau. Kelihatan sama ialah Lokman (dua kiri) dan Ramlye (dua kanan)

PASUKAN TABS SAFA Bandaraya akan teruskan memberi fokus menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo tidak lama lagi selepas menunjukkan prestasi yang baik dalam Liga Suparimau FAM 2022.

Pasukan TABS B16 B menduduki naib juara dalam kategori umur bawah umur 16 liga itu yang berakhir di padang sintetik Komplek Sukan Likas, semalam. Kategori itu dimenangi JJFC FC dan Sumaki FT menduduki tempat ketiga.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata secara keseluruhan tahap pencapaian TABS dalam Liga Suparimau yang pertama kali diadakan di Sabah itu masih boleh dipertingkatkan dan berharap jurulatih dan pemain-pemain dalam kategori masing-masing akan berusaha ke arah itu.

Katanya, pendedahan melalui liga ini akan membolehkan setiap pasukan mereka meningkatkan prestasi bagi persiapan menghadapi Piala Borneo selepas ini.

“Kita mengucapkan tahniah kepada jurulatih dan pengurusan pasukan TABS B16 B yang menunjukkan prestasi baik dan sentiasa memberi saingan kepada pasukan lain sepanjang liga itu,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian medal dan sijil oleh wakil penganjur Liga Suparimau, semalam.

Menurut beliau, semua pasukan TABS dalam kategori masing-masing juga menunjukkan semangat yang tinggi dan ia masih ada ruang untuk dipertingkatkan lagi untuk menghadapi sebarang kejohanan akan datang.

“Kita dapati semangat mereka sentiasa berkobar-kobar mengharungi liga berkenaan selain sokongan yang disemarakkan oleh ibu bapa pelatih. Ini memberi kelebihan dan banyak membantu TABS menghadapi liga dengan lebih bersemangat,” ujarnya.

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA menambah pengalaman yang dilalui sepanjang Liga Suparimau sudah tentu akan menyuntik semangat pemain-pemain dalam menghadapi Piala Borneo dalam masa terdekat.

Katanya, TABS akan lebih fokus melakukan persiapan untuk Piala Borneo bagi memastikan mereka melakukan yang terbaik dalam kejohanan itu nanti.

Sementara itu, beliau juga mengesahkan TABS akan menghantar dua pasukan, B12 dan B11 ke Kejohanan bola sepak NFDP di Kota Kinabalu pada Oktober ini.

Kejohanan itu dijangka akan disertai pasukan-pasukan dari Semenanjung Malaysia.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.