Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Masyarakat perlu sedar kesan negatif gajet, alam siber kepada kanak-kanak – Julita

0

MASYARAKAT secara amnya perlu menyedari tentang kesan negatif gajet dan alam siber kepada kanak-kanak seperti ketaksuban memiliki dan ketagihan penggunaannya.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk Julita Majungki berkata, tidak dapat dinafikan juga bahawa ini berkait rapat dengan perubahan zaman yang berlaku kepada generasi muda sekarang.

Julita (dua kiri) menyampaikan gajet kepada murid dari SK Indarason Kudat

“Media sosial dan teknologi maklumat telah mengubah cara manusia berinteraksi. Kini jarak dan tempat tidak lagi menjadi halangan untuk berhubung.

“Dengan hanya satu klik sahaja, jaringan interaksi sosial maya membolehkan kita terhubung dengan orang lain tanpa mengira waktu,” katanya.

Berbeza dengan generasi terdahulu yang hanya mengenal gajet dan teknologi pada usia dewasa, katanya, anak-anak zaman sekarang telah terdedah kepada penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer sejak usia yang sangat muda, malah ada yang lebih mahir menggunakan gajet berbanding orang dewasa,” kata beliau.

Sehubungan itu, Julita berkata, KPMKR dan PEMADAM Negeri Sabah telah bekerjasama untuk memberikan advokasi dan meningkatkan kesedaran para pelajar termasuk guru-guru mengenai penggunaan media sosial yang beretika dan selamat dari aspek penggunaan.

Julita berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Pintar Gajet, Minda Sihat yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Indarason, di sini hari ini.

Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, Program Pintar Gajet, Minda Sihat ini diadakan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan ke arah minda yang sihat kepada para pelajar agar peralatan gajet dijadikan sebagai sumber untuk mendapatkan ilmu dan maklumat yang berguna.

“Saya berharap para pelajar SK Indarason, Kudat yang telah menyertai program sejak pagi tadi dapat memanfaatkan ilmu tersebut sebaiknya,” tambah beliau.

Sementara itu, Julita berkata, kesihatan mental seperti juga kesihatan fizikal adalah komponen penting dalam ilmu kesihatan.

“Dalam era arus permodenan kini, kesihatan mental menjadi semakin penting kerana tumpuan tidak lagi hanya kepada penyakit-penyakit mental seperti schzophrenia tetapi lebih kepada cabaran hidup yang berkait dengan kesejahteraan mental seperti stres, insomnia, kecelaruan dan kegelisahan.

“Justeru, program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran warga sekolah akan kepentingan kesihatan mental terutamanya kecelaruan emosi yang amat mencabar dewasa ini,” ujarnya.

Sambil memuji usaha pihak penganjur mengadakan program itu, Julita juga mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada SK Indarason, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kejayaan program tersebut.

Katanya, program ini merupakan usaha pihak Kerajaan melalui KPMKR dalam menangani permasalahan sosial di kalangan pelajar.

Turut hadir, Ketua Seksyen Kesejahteraan Keluarga dan Hal Ehwal Pengguna KPMR, Siti Mona Aspinah; Setiausaha Eksekutif PEMADAM Sabah, Jossie Ansilmus; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Matunggong, Marius Masain; Guru Besar SK Indarason; Abdul Rahim Haji Madtaip serta pegawai lain.

 

 59 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.