Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Russia lancar serangan dron terbesar ke Ukraine

0

KYIV: Tentera Russia melancarkan serangan dron terbesar mereka ke atas Ukraine semalam hingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di sebahagian besar wilayah barat Ternopil dan merosakkan bangunan kediaman di wilayah Kyiv, menurut pegawai Ukraine.

Serangan dron yang semakin sengit setiap malam itu berlaku serentak dengan serangan besar-besaran Russia di barisan hadapan timur Ukraine, di mana tentera Russia mencatatkan beberapa kemenangan wilayah bulanan terbesar sejak 2022.

Menurut pasukan udara Ukraine, daripada 188 dron yang digunakan dalam serangan itu, Ukraine berjaya menembak jatuh 76 dron dan kehilangan jejak 96 dron lagi, kemungkinan besar disebabkan oleh peperangan elektronik aktif, manakala lima dron menuju ke Belarus.

“Musuh melancarkan jumlah dron Shahed dan dron yang tidak dikenali. Ia adalah dron yang dihasilkan dengan kos murah yang mengikat pertahanan udara Ukraine.

“Malangnya, terdapat serangan ke atas kemudahan infrastruktur kritikal dan bangunan persendirian serta pangsapuri rosak di beberapa wilayah akibat serangan dron yang besar ini,” menurut kenyataan pasukan udara, sambil menambah bahawa tiada laporan mangsa terkorban.

Gabenor, Vyacheslav Nehoda, berkata serangan itu merosakkan grid kuasa di Ternopil, sebuah bandar utama di barat Ukraine dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di sekitar 70 peratus kawasan itu.

Ternopil, yang terletak kira-kira 220 kilometer dari Poland, negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan wilayah sekitarnya mempunyai populasi lebih daripada satu juta orang sebelum serangan Russia pada Februari 2022, yang menyebabkan ramai rakyat Ukraine berpindah ke barat.

“Kesan serangan ini teruk kerana kemudahan itu terjejas dan ini akan memberi impak kepada bekalan elektrik di seluruh wilayah untuk tempoh yang lama.

“Selain itu bekalan air juga terputus dan mengganggu bekalan pemanasan, tetapi perkhidmatan kecemasan hampir memulihkan bekalan air pada waktu pagi dan pihak berkuasa tempatan merancang untuk memperkenalkan pemotongan bekalan elektrik yang dirancang sebagai langkah susulan serangan itu,” katanya.

Sementara itu, ketua ibu pejabat pertahanan wilayah, Serhiy Nadal, berkata bas elektrik yang beroperasi di bandar itu akan digantikan dengan bas biasa dan generator akan digunakan untuk membantu menangani kekurangan elektrik di sekolah, hospital dan institusi kerajaan.

Selain di Ternopil, Russia juga menyasarkan serangan ke ibu negara Kyiv hingga merosakkan empat kediaman persendirian, dua bangunan pangsapuri bertingkat tinggi, dua garaj dan sebuah kereta, bagaimanapun unit pertahanan udara berjaya memusnahkan lebih daripada 10 dron Russia.

Sebahagian besar Ukraine berada di bawah amaran serangan udara sepanjang malam, menurut data pasukan udara. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.