Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

TPM ingatkan, jangan jadikan rakyat Sabah mangsa capai kepentingan politik

0

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia): Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak, khususnya pemimpin agar tidak menjadikan rakyat sebagai mangsa atau mempertaruhkan ‘harga mahal’ untuk mencapai kepentingan politik kelompok tertentu.

DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI

Zahid menekankan, perbezaan pendapat atau ideologi politik bukan suatu permasalahan pokok di negara ini yang mengamalkan sikap terbuka, namun keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan rakyat terlebih dahulu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berusaha keras untuk memastikan politik negara ini dipertahankan dan kekal stabil.

“Ini kerana kestabilan politik sesebuah negara itu seterusnya akan membawa kepada pembangunan, ekonomi mapan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.

“Pemimpin politik perlu berpegang pada janji setelah suatu perkara itu dipersetujui. Jangan jadikan politik untuk kepentingan kelompok tertentu, dan seterusnya rakyat pula menjadi mangsa.

Ewon menyampaikan cenderakenangan kepada Zahid

“Jadikan Sabah sebagai contoh untuk kita menyantuni perbezaan dalam kepelbagaian. Kerjasama seperti di Sabah harus dijadikan contoh dan diperkukuhkan demi membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian 2023 di Kampung Kadamaian, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, projek naik taraf infrastruktur jalan raya di kawasan Kadamaian dilancarkan dengan peruntukan sebanyak RM244 juta.

Beliau berkata, projek itu dilihat mampu menjadi ‘game changer’ dalam meningkatkan dan menambah baik tahap kehidupan rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pembinaan 40 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

“Saya juga maklum dengan permohonan tambahan yang lain oleh Ewon untuk rakyat Kadamaian.

“Sebagaimana komitmen saya hadir pada hari ini, saya akan memastikan peruntukan yang diperlukan dapat disediakan mengikut proses ditetapkan,” katanya.

 92 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.