BUDAPEST: Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, berkata bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tidak akan memberikan wang untuk membantu Ukraine bagi menentang Russia sekiranya beliau sekali lagi memenangi jawatan Presiden AS.
Orban, yang mendedahkan perkara itu selepas pertemuan dengan Trump, berkata ia akan menjadi strategi bekas Presiden AS itu untuk menamatkan perang di Ukraine.
Beliau, yang sebelum ini menyokong usaha sekutu lamanya itu untuk kembali ke Rumah Putih, bertemu dengan Trump di Florida pada Jumaat lalu.
“Trump tidak akan memberikan sesen pun kepada Ukraine bagi membiayai perang menentang pencerobohan Russia dan oleh itu, perang akan berakhir kerana tidak mungkin bagi Ukraine untuk berdiri atas kakinya sendiri.
“Jika AS tidak lagi memberikan wang dan senjata manakala masyarakat Eropah juga tidak dapat membiayai perang ini, maka ia dengan sendiri akan berakhir,” katanya.
Difahamkan Orban enggan menghantar dan membekalkan senjata kepada Ukraine kerana masih mengekalkan hubungan ekonomi rapat dengan Moscow sejak tentera Russia menyerang Ukraine pada 2022.
Kali terakhir Orban bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, ialah pada Oktober di China, meskipun terdapat usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk memboikot Moscow.
Menurutnya lagi, bagaimana perang akan ditamatkan dengan rundingan damai menyusuli gencatan senjata dan kaedah mewujudkan Eropah yang stabil lagi selamat adalah perkara kedua selepas keamanan dicapai dan Trump mempunyai keupayaan melakukannya.
Kenyataan daripada pihak Trump pula tidak menyebut perbincangan mengenai Ukraine, sebaliknya menyatakan mereka membincangkan isu membabitkan kedua-dua negara termasuk keselamatan sempadan masing-masing.
Pemimpin Eropah agak gementar jika Trump menjadi Presiden AS sekali lagi, sokongan AS untuk Ukraine dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan berkurangan. – REUTERS