PHNOM PENH: Seramai 245 rakyat lelaki Kemboja mengharungi bahang cuaca tropika untuk mencipta rekod dunia baharu yang luar biasa bagi kebanyakan orang dengan ‘menggendong pengantin’ pada masa yang sama.
Tindakan mereka mengangkat pasangan sama ada isteri, teman wanita, adik beradik perempuan atau ibu dengan satu tangan di bawah kaki dan satu lagi menyokong belakang badan dan bertahan kedudukan itu selama seminit supaya ia mencatatkan rekod baharu dan diperakui oleh wakil Guinness World Records.
“Saya sangat gembira dan ini kali pertama saya menyertai acara sebegini untuk memecahkan rekod dunia untuk Kemboja,” kata Sam Khan, 25, kepada AFP sebelum menggendong isterinya.
Acara terbabit berjaya menarik penyertaan peserta muda dan berusia.
“Saya sangat teruja,” kata Heng Pov, 50 yang digendong anaknya.
Selepas mencipta rekod, ramai peserta meneruskan ‘menggendong’ sebagai sebahagian daripada pertandingan untuk memenangi kereta baharu.
‘Kendong pengantin’ adalah cara pengantin lelaki dalam sesetengah budaya yang mendukung pasangannya memasuki rumah baharu mereka. – AFP