Ewon iringi PM ke Berlin, Jerman
Sepanjang lima hari lawatan kerja, Ewon Bersama PM temui Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, di Bellevue Palace
BERLIN (Jerman): Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang mengiringi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja selama lima hari ke Jerman mempunyai aturcara ketat, antaranya Bersama PM menemui Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.
Pertemuan di Bellevue Palace, Berlin itu antaranya bertujuan untuk memperkasakan lagi kerjasama perdagangan dan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Pada Isnin di Berlin, Ewon menghadiri mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja bermula 10 hingga 15 Mac ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensinya iaitu SME Bank dan SME Corp turut menyertai SME Future Day anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft – BVMW), bermula Rabu ini.
Empat syarikat perusahaan sederhana negara dan dua syarikat francais turut menyertainya. Perdana Menteri dijangka melawat booth kementerian yang dikelolakan oleh KUSKOP.
Selepas mesyuarat mesyuarat pre-council, delegasi Malaysia melawat Siemens Energy yang menjadi antara peneraju sektor tenaga berasaskan hidrogen.
Siemens mempunyai pelaburan dan kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Malaysia. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mempunyai potensi penyertaan dan penglibatan dalam sistem rantaian bekalan oleh Siemens Energy.