Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UPKO Tidak Sokong Kerajaan ‘Tebuk Atap’ – Ewon

0

Oleh DG HENRY dan ROSANNA EDEZA

EWON

PENAMPANG (Sabah, Malaysia): Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, partinya berpendirian tidak akan menyokong sebarang usaha menggantikan Kerajaan Perpaduan sekarang secara “tebuk atap”.

Katanya pembentukan kerajaan sedia ada adalah hasil daripada perundingan yang sah dan ia perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan atau Parlimen dibubarkan.

“Selagi saya menjadi Presiden UPKO, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha yang cuba menggantikan kerajaan yang ditubuhkan atau dipilih selepas perundingan dan perbincangan yang sah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krimas di Pusat Kebudayaan Penampang di sini, selasa.

Turut berangkat hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian yakin perbuatan tebuk atap tidak akan berlaku termasuk di peringkat kerajaan negeri Sabah kerana beliau adalah antara wakil rakyat yang menghalang cubaan menggulingkan kerajaan negeri sebelum ini.

Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia itu memberitahu,  dalam usaha membangunkan infrastruktur, ekonomi dan tuntutan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan memerlukan kestabilan politik negeri dan atas dasar itu sokongan penuh perlu diberikan kepada kepimpinan ketua menteri Sabah.

UPKO, yang merupakan sebuah parti dari Sabah, adalah sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersama PKR, DAP dan Amanah yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menzahirkan keyakinannya bahawa percubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau tebuk atap tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak.

Anwar berkata dalam situasi politik semasa, pendirian Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama di Sarawak iaitu GPS dan di Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan kerajaan berlaku.

Pada Isnin, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata gabungan parti itu kini fokus kepada usaha memulih serta membangunkan ekonomi untuk rakyat dan bukan menggantikan Kerajaan Perpaduan sedia ada melalui cara menukar sokongan atau tebuk atap.

Mengenai topik yang lain, Ewon berkata,para pemimpin seharusnya memberikan fokus kepada pembangunan serta tuntutan hak Sabah dan bukannya ‘tebuk atap’.

Dalam  dalam hal ini tegasnya  kestabilan politik amat penting.

“Fokus kita seharusnya kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur di Sabah, hal-hal tertunggak dan tuntutan-tuntutan pembangunan.

“Hal ini memerlukan kestabilan politik, kalau politik tidak stabil, bagaimana kita menuntut hak Sabah dalam persekutuan Malaysia? Sebab itu saya memilih untuk mendukung Ketua Menteri daripada memberi sokongan kepada usaha untuk menggantikan beliau pada tempat dan masa yang tidak sesuai.

“Oleh itu, saya ingin mengajak kepada semua pimpinan Sabah supaya memberi fokus kepada perkara-perkara yang betul,”.

“Kalau kita sering bercakaran memilih siapa ketua menteri, timbalan ketua menteri dan siapa anggota kabinet, akhirnya fokus kita hanya memilih 11 orang, sedangkan di Sabah, rakyatnya yang jutaan jumlahnya inginkan Sabah terus membangunkan ekonomi, infrastruktur dan keusahawanannya.

“Bayangkan bagaimana saya dan kementerian boleh merencanakan fokus tambahan kepada Sabah jika saya terpalit dalam usaha sedemikian. Sebab itu itu kementeiran kita memerlukan satu kerajaan negeri yang sangat stabil dan pada saya biarlah kerajaan pada hari ini kekal sehingga dibubarkan oleh ketua menteri,” katanya.

 

 

 

 566 total views,  3 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.