Oleh: JOHARY INDAN

KETUA Bersatu Lahad Datu Abdul Hakim Gulam Hassan menyarankan setiap rumah mempunyai alat pemadam api sebagai langkah keselamatan untuk mencegah berlakunya kebakaran.
Beliau berkata, alat pemadam api penting dalam memastikan pencegahan dan pemadaman api peringkat awal dapat dilakukan jika berlaku kebakaran di rumah sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.
Abdul Hakim berkata demikian ketika berucap merasmikan program Demontrasi Memadam Kebakaran dan Cara Menggunakan Alatan Memadam Kebakaran di perkarangan gelanggang Futsal Kampung Durian, di sini, hari ini.
Program itu anjuran JPPK Kampung Durian dengan kerjasama Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu.
Beliau juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut memuji usaha dilakukan JPKK Kampung Durian menganjurkan program itu, yang diharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau berharap anggota masyarakat menjalin kerjasama dengan pemimpin masyarakat terutamanya JPKK dan Pemaju Mukim supaya usaha membangunkan kampung dapat dilakukan dengan lebih baik.
Beliau mengingatkan pemimpin masyarakat berlaku adil dalam memikul amanah dan tanggungjawab tanpa mengira perbezaan ideologi politik demi kesejahteraan rakyat.
Pada program tersebut, pihak KKM turut menganjurkan suntikan dos penggalak kepada 300 penduduk berkenaan.