KENINGAU (Sabah, Malaysia): Datuk Sairin Karno menyarankan kepada wanita-wanita yang telah mencapai umur 40 tahun supaya menjalani saringan kanser payudara.
Katanya wanita yang tinggal di kawasan luar Bandar, sepatutnya mengambil peluang itu memandangkan mereka tidak mendapat kesederan mengenai penyakit itu.
“Wanita harus peka mengenai penyakit ini,” jelas beliau ketika berucap melancarkan kempen kesederan kanser payudara.
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu berkata, kanser payudara boleh membunuh sekiranya tidiak dikesan dan dirawat daripada awal.
Kempen itu dianjurkan oleh Persatuan Sokongan Kanser Payudara Kinabalu yang dilangsungkan di Dewan Masyarakat daerah Keningau.
Ketika menyampaikan ucapan pendulu, presiden persatuan itu Natrah Datuk Hj. Mohd Arif berkata, tujuan kempen itu adalah bagi meningkatkan kesederan serta pengetahuan kaum wanita mengenai risiko kanser payudara.
Katanya, melalui kempen itu peserta berpeluang berkongsi pengalaman dengan bekas penghidap kanser, khususnya kaedah berkesan bagaimana menghadapi penyakit itu.
“Pengalaman mereka untuk memberi sokongan psikososial (emosi dan social) bagi membantu penghidap kanser sangat penting untuk dikongsi,” katanya.
Natrah memberitahu persatuan itu memberi sokongan psikososial dan sokongan perkakasan kepada individu yang menghidap kanser payudara.
“Apa yang kami lakukan ialah meningkatkan keupayaan penghidap kanser untuk mengurus diri semasa dan selepas rawatan,” katanya dan menambah aktiviti persatuan itu ialah untuk mempromosi pendidikan awam mengenai isu-isu kesihatan umum, payudara termasuk pengesanan awal penyakit itu.
Menyaksikan majlis pelancaran itu ialah Penolong Pegawai Daerah, Ahmad Shah Mohd Sunoh, Ketua Daerah, OKK Mohd Amir Datuk Haji Mohd Arif , pegawai-pegawai jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Sokongan kanser Payudara Kinabalu.
Turut diadakan semasa pelancaran majlis itu ialah pameran kesihatan, pemeriksaan payudara dan kesihatan, derma darah dan cabutan tiket bertuah. – Oleh: KALAWON SALANGIT.