Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah mohon penjelasan Petronas

Isu Kos pengeluaran tersembunyi cecah 70 peratus:

0
PROF. Ir. DR. ROSALAM SARBATLY

EKSKLUSIF

Kredit gambar: Wikipedia, ensiklopedia bebas

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eskekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin perlu menjelaskan kos pengeluaran tersembunyi yang ditetapkan pada kadar 70% daripada harga jualan minyak mentah yang telah digunakan sebagai fakta bagi menafikan tuntutan 20% royalti oleh negeri-negeri pengeluar minyak.

Perbezaan kos pengeluaran sepatutnya bukan ditetapkan berlandaskan peratusan, sebaliknya perlu diterangkan berdasarkan kos teknikal manakala sebarang pembayaran  cukai kepada Kerajaan (Pusat dan Negeri) perlu diasingkan bagi menjamin keadilan perniagaan lebih telus kerana ia melibatkan hak bersama.

Tuntutan 20% juga dikatakan akan mendatangkan masalah kepada kontrak pengeluaran bersama (Production Sharing Contract, PSC) yang telah ditandatangi oleh Petronas dengan Kerajaan Pusat dan kontraktor-kontraktor pengeluaran minyak seperti Shell, Repsol, dan ConocoPhilip. Negeri-negeri pengeluar minyak tidak mempunyai peranan dalam PSC tersebut sebaliknya hanya menerima 5% bayaran tunai. Masalah bagi Petronas kerana penyelesaian terletak di tangan Kerajaan Pusat (Perdana Menteri-rujuk PDA1974).

Apakah kos pengeluaran tersembunyi sebanyak 70% yang diterangkan oleh Wan Zulkifli adalah kos untuk membayar royalti 10%, cukai eksport 10%, cukai petroleum sebanyak 38% yang secara berterusan dikutip oleh Kerajaan Pusat tidak termasuk dividen keuntungan tahunan, dan kos PCSB sebanyak 15% sebagai bayaran penyertaan oleh syarikat kontraktor minyak pengeluaran dan lain-lain kos seperti pautan di bawah? (https://platinum.petronas.com/MPM/ExplorationOpportunities/Pages/Production-Sharing-Contract-Overview.aspx)

Jika berdasarkan kepada PSC seperti pautan laman sesawang Petronas, pecahan tersebut jelas menunjukkan kos tersembunyi pengeluaran minyak sebahagian besar adalah untuk membayar cukai kepada Kerajaan Pusat (melebihi 50%). Jika itu perjanjian Petronas dengan Kerajaan Pusat menerusi PSC, dakwaan Wan Zulkifli tentang pemberian tambahan 20%  sememangnya sukar dilaksanakan oleh Petronas.  Tetapi kenapa pula menjadi masalah bagi Kerajaan Pusat untuk memulangkan 20% sebagai royalti yang telah mengambil sebahagian besar hasil jualan minyak daripada negeri-negeri pengeluar? Petronas itu sendiri milik Kerajaan Pusat dengan kuasa penuh diberi kepada Perdana Menteri mengikut Akta PDA 1974.

Apakah munasabah bagi pemilik sumber asli perlu membayar kos pengeluaran yang mencecah lebih daripada RM21 bilion setahun sedangkan Sabah sendiri hanya menerima bayaran tunai sekitar RM1.5 bilion berdasarkan  perkiraan peratusan, harga semasa dan jumlah pengeluaran seperti diutarakan oleh Wan Zulkifli?

Anggaran kos pengeluaran di kebanyakan negara-negara pengeluar minyak OPEC secara purata adalah sekitar USD15 bagi setiap tong minyak keluaran. Di Brunei, kos pengeluaran adalah sekitar USD 18-25 bagi setiap tong. Kos pengeluaran akan terus berkurangan dengan peningkatan kemajuan teknologi atau setelah modal peleburan (CAPEX) pembinaan pelantar minyak diperolehi semula. Kos pelantar minyak pula berbeza-beza mengikut lokasi, risiko dan kesukaran kawasan telaga minyak. Risiko tinggi hanyalah semasa proses eksplorasi kerana setiap percubaan menebuk telaga minyak, peratus kejayaan adalah sekitar 20%. Rata-rata telaga minyak di Sabah terletak di Pantai Barat yang mempunyai risiko keselamatan yang rendah. Kos pengeluaran di Malaysia dikatakan berada sekitar USD 25-35 bagi setiap tong pengeluaran dan kos ini berbeza-beza bergantung kepada tempat, teknologi, jumlah pelaburan, dan risiko yang di ambil.  (https://klse.i3investor.com/m/blog/kltrader/89440.jsp)

Satu kelebihan minyak yang dihasilkan di Sabah adalah kebanyakan jenis “sweet crude oil” dengan kandungan sulfur kurang daripada 0.5% (%wt) serta rendah kandungan hidrogen sulfide dan karbon dioksida. Jenis “sweet crude oil” ini diniagakan pada harga yang lebih tinggi berbanding “sour crude oil” yang mengandungi sulfur serta pelbagai bahan lain termasuk logam berat seperti plumbum dan merkuri yang tinggi menyebabkan kos proses penapisan berperingkat yang tinggi. Pengeluaran gas asli di Sabah juga mengandungi peratusan amat rendah karbon dioksida berbanding sesetangah kawasan di Semananjung Malaysia yang mencecah sehingga 50% (v/v).

Di Sabah, kebanyakan pengeluaran tertumpu kepada pengekstrakan gas asli yang berada pada lapisan atas telaga minyak terlebih dahulu berbanding pengekstrakan minyak yang lebih berat daripada perut bumi perairan Sabah. Pengeluaran gas asli ini merupakan keputusan kurang tepat dari segi teknikal tetapi mungkin lebih menguntungkan kepada syarikat untuk tempoh singkat. Ini kerana, pengekstrakan gas akan menyebabkan tekanan telaga minyak akan berkurangan dan kos pengekstrakan minyak mentah selepas itu akan menjadi lebih mahal kerana terpaksa menggunakan teknologi Enhanced Oil Recovery (EOR) dan penggunaan pam menjadi satu keperluan.

Penetapan harga minyak bertapis (diesel dan petrol) di setesen minyak dibuat berlandaskan harga semasa minyak mentah dunia, matawang negara, dan iklim ekonomi dunia. Namun, harga produk sampingan petroleum seperti minyak pelincir, bitumin, plastik dan lain-lain yang mewakili sekitar 20-50% kandungan minyak mentah terus meningkat tanpa kawalan. Ini juga telah memberi keuntungan yang berlipat ganda kepada pemprosesan hiliran khususnya apabila harga minyak mentah menyusut. Produk-produk ini kurang mendapat perhatian pengguna dalam penentuan harga di pasaran terbuka.

Teruskan usaha untuk mendapat keadilan sewajarnya terhadap anugerah kekayaan yang Allah turunkan kepada negeri-negeri bertuah. Kita tidak boleh terus-terusan dikelirukan dengan fakta yang separuh masak dengan pelbagai kos tersembunyi oleh mereka yang cuba menafikan hak yang sepatutnya dinikmati secara adil dan saksama.– (Penulis  adalah Prof Ir Dr. Rosalam Sarbatly, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.