Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Alat kelui Hizbullah meletup: Mossad ‘tanam’ bahan letupan dalam peranti buatan Taiwan – Sumber

0

BEIRUT: Agensi perisikan Israel, Mossad didakwa meletakkan sejumlah kecil bahan letupan dalam alat kelui buatan Taiwan yang dipesan oleh pejuang Hizbullah beberapa bulan sebelum letupan di Lubnan, Selasa lalu, kata sumber kanan keselamatan Lubnan dan sumber lain kepada Reuters.

Kejadian itu tidak pernah dialami Hizbullah sebelum ini, yang mana ribuan alat kelui meletup di seluruh Lubnan, membunuh sembilan orang dan mencederakan hampir 3,000 orang lain, termasuk pejuang kumpulan itu serta wakil Iran ke Beirut.

Hizbullah yang disokong oleh Iran berjanji untuk membalas dendam terhadap Israel, namun tenteranya enggan mengulas mengenai letupan yang berlaku itu.

Beberapa sumber memaklumkan kepada Reuters bahawa plot berkenaan dilihat telah disusun selama beberapa bulan sebelum kejadian.

Sumber kanan keselamatan Lubnan itu berkata, kumpulan itu menempah 5,000 alat kelui buatan syarikat Taiwan, iaitu Gold Apollo yang mana menurut beberapa sumber bahawa alat terbabit dibawa masuk ke negara itu awal tahun ini.

Sumber keselamatan kanan Lubnan itu mengenal pasti gambar alat kelui model AR-924 itu yang berfungsi seperti alat kelui lain iaitu menerima dan memaparkan mesej teks secara tanpa wayar tetapi tidak boleh membuat panggilan telefon.

Alat kelui berteknologi rendah sukarkan Israel kesan lokasi Hizbullah

Pejuang Hizbullah menggunakan alat kelui sebagai cara berkomunikasi berteknologi rendah dalam usaha untuk mengelakkan pengesanan lokasi oleh Israel, kata dua sumber yang biasa dengan operasi kumpulan itu.

Namun katanya peranti terbabit sudah diubah suai oleh agensi perisikan Israel pada peringkat pengeluaran lagi.

“Mossad menyuntik papan di dalam peranti yang mempunyai bahan letupan yang menerima kod. Ia sangat sukar untuk dikesan melalui apa-apa cara. Walaupun dengan mana-mana peranti atau pengimbas,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata 3,000 alat kelui meletup apabila mesej berkod dihantar kepada mereka lalu mengaktifkan bahan letupan terbabit secara serentak.

Satu lagi sumber keselamatan memberitahu Reuters bahawa sehingga tiga gram bahan letupan disembunyikan dalam alat kelui baharu itu dan tidak dapat dikesan oleh Hizbullah selama berbulan-bulan.

Setakat ini, belum ada pihak yang tampil memberikan maklum balas pertanyaan Reuters mengenai perkara itu sama ada oleh pihak Israel mahu pun Gold Apollo. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.