JAKARTA: Polis Indonesia mendakwa Australia bertindak menghantar puluhan pendatang tanpa izin ke sebuah pulau terpencil di selatan negara itu dan tindakan itu kali kedua berlaku, tahun ini.
Ketua Polis Pulau Rote, Indonesia, Mardiono berkata pendatang tanpa izin berkenaan menaiki dan mendarat di kawasan terbabit sebelum bot mereka dipintas oleh kapal Australia pada bulan lalu.
Mardiono berkata, pada awalnya pihak mereka hanya menerima laporan mengenai bot terkandas di kawasan berkenaan.
“Selepas memeriksa kami menemui sebuah bot tanpa nama dan bendera yang membawa seramai 22 orang pendatang tanpa izin.
“Polis juga menemui bot serupa yang membawa 22 lelaki pendatang tanpa izin yang terkandas di bahagian lain di pulau berkenaan,” katanya.
Mardiono berkata, pendatang asing tanpa izin berkenaan adalah warga Bangladesh, lapan daripadanya adalah etnik Rohingya di Myanmar.
Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis bagi urusan selanjutnya.
“Pendatang asing tanpa izin berkenaan dilaporkan menghabiskan masa tiga hari di laut sebelum dipintas oleh sebuah kapal Australia.
“Mereka ditahan selama 18 hari sebelum dibawa mengunakan dua bot serta diarahkan menuju ke Pulau Rote,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pasukan Sempadan Australia (ABF) dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya enggan mengesahkan atau mengulas mengenai perkara berkenaan.
Jun lalu, Pihak Berkuasa Imigresen Indonesia dalam satu kenyataan, berkata mereka seramai 28 warga asing yang terkandas di pantai di selatan Jawa dan mendapati warga asing terbabit telah hanyut selepas bot mereka dipintas oleh pihak berkuasa Australia.
Di bawah dasar ketat yang diperkenalkan lebih sedekad lalu, Australia menghantar beribu-ribu pendatang yang cuba menyelinap masuk ke negara berkenaan dengan menggunakan bot ke pusat tahanan di Pulau Manus Papua New Guinea dan negara kecil di Pasifik, Nauru.
Kerajaan Australia menyatakan dengan tegas bahawa tiada pencari suaka yang tiba dengan bot akan dibenarkan menetap secara kekal di negara itu.