WASHINGTON: Cubaan membunuh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menimbulkan kemarahan penyokongnya, menghentikan kempen Demokrat dan menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan politik.
Sekutu Trump dalam parti Republikan menyifatkannya sebagai seorang wira pada 13 Julai, menggunakan imejnya dengan telinga berdarah dan menunjukkan penumbuk sambil kononnya mengungkapkan ‘Berjuang! Berjuang! Berjuang!’.
Walaupun Trump kerap menggunakan bahasa agak kasar dengan pengikutnya, penasihat dan sekutu bekas presiden itu mendakwa kenyataan retorik Presiden AS, Joe Biden, menjadi punca serangan terhadap Trump, yang juga saingannya pada pemmilihan November ini.
Senator JD Vance dari Ohio, berkata ucapan Biden yang kerap kali menyatakan Trump adalah calon presiden penjenayah dari Republikan, menjadi punca ada yang terdorong untuk menyerangnya.
“Hari ini bukan hanya kes terpencil. Premis utama kempen Biden ialah Trump adalah seorang fasis autoritarian, yang mesti dihentikan dengan apa cara sekalipun.
“Retorik itu membawa terus kepada percubaan pembunuhan Trump,” katanya yang juga antara calon utama untuk menjadi pasangan Trump, di laman media sosial X.
Biden bertindak pantas untuk cuba meredakan keadaan, dengan mengecam serangan itu dan menyifatkannya sebagai keganasan politik yang tidak boleh diterima, sambil menghentikan iklan pilihan raya yang menyerang Trump.
“Tiada tempat di Amerika untuk keganasan seperti ini. Ia menyakitkan,” kata Biden kepada pemberita.
Motif penembak itu belum diketahui tetapi suspek dikenal pasti sebagai Thomas Matthew Crooks, 20, dari Bethel Park, Pennsylvania dan adalah seorang Republikan berdaftar, menurut rekod pengundi negeri.
Beliau sebelum ini membuat derma AS$15 kepada jawatankuasa tindakan politik yang mengumpul wang untuk ahli politik berhaluan kiri dan Demokrat.
Dalam tempoh kurang 24 jam daripada serangan, Trump menghadiri kempen pemilihan presiden AS di Milwaukee, sempena Konvensyen Kebangsaan Republikan.
Dalam beberapa jam selepas kes tembakan itu, penyelaras kempen Trump menghantar teks meminta pengundi menyumbang kepada kempen itu.
“Mereka tidak mengejar saya, mereka mengejar anda,” kata mesej itu.
Jutawan Elon Musk dan Bill Ackman juga dengan pantas menyokong Trump. “Saya menyokong penuh Presiden Trump dan berharap agar beliau cepat sembuh,” kata Musk di X, laman media sosial miliknya.
AS sedang bergelut dengan peningkatan terbesar dan paling berterusan dalam keganasan politik sejak 1970-an.
Daripada 14 serangan politik mengakibatkan maut sehingga penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol pada 6 Januari 2021, di mana pelaku atau suspek mempunyai kecenderungan partisan yang jelas, 13 daripadanya berhaluan kanan dan satu berhaluan kiri. – REUTERS