KATHMANDU: Khadga Prasad Sharma Oli, hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Nepal selepas Parti Komunis membentuk kerajaan campuran dengan Kongres Nepal yang berhaluan tengah.
Oli, 72, adalah ketua parti kedua terbesar di Parlimen, Komunis Nepal Marxis Bersatu-Leninist (CPN-UML), kembali sebagai Perdana Menteri buat kali keempat, menandakan peralihan kuasa dalam Parlimen negara yang sering bergolak.
Di republik Himalaya yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk, dibayangi negara jiran gergasi India dan China, Oli sebelum ini melakukan keseimbangan yang baik antara pesaing, mesra dengan kedua-duanya tetapi mengutamakan Beijing untuk mengurangkan pergantungan Nepal pada New Delhi.
“Saya, KP Sharma Oli, atas nama negara dan rakyat, berjanji akan setia kepada Perlembagaan… dan menunaikan kewajipan saya sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika mengangkat sumpah, disaksikan Presiden, Ram Chandra Poudelcdi, pejabatnya.
Beliau, yang dipilih sebagai Perdana Menteri Pertama pada 2015, dipilih semula pada 2018 dengan kerajaan majoriti yang jarang berlaku dan kemudian dilantik semula untuk tempoh singkat pada 2021.
Pendahulunya dan bekas sekutu kerajaan gabungan, Pushpa Kamal Dahal, hilang undi percaya pada Jumaat, selepas hampir 18 bulan memegang jawatan.
Dahal, bekas komander gerila Maois yang lebih dikenali dengan gelaran Prachanda atau ‘Yang Garang’, terpaksa berundur selepas parti Oli menarik balik sokongannya.
Oli sebaliknya menjalin perjanjian dengan Sher Bahadur Deuba dari Kongres Nepal.
Beliau berjanji untuk menyerahkan jawatan itu kepada bekas Perdana Menteri lima kali Deuba, 78, dalam penggal Parlimen akan datang.
Seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) Nepal akan datang dijangka pada 2027. – AFP