Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Elron gesa belia menghayati  erti Ka’amatan

0

Oleh MANAS ANSIUNG

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin menggesa golongan belia agar memahami erti sebenar perayaan Kaamatan bagi memastikan budaya kaum Kadazan Dusun Murut Rungus(KDMR) terus terpelihara.

Katanya,  golongan belia perlu memainkan peranan dalam memperkasa budaya kaum KDMR agar tidak pupus ditelan arus permodenan global.

Justeru  katanya, generasi muda mempelajari dan memartabatkan bahasa ibunda kerana golongan muda adalah penentu kepada kesinambungan hala tuju kebudayaan kaum KDMR pada masa akan datang

Ellron  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sook berkata demikian semasa berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan 2022 di Dewan Terbuka Majlis Daerah di sini pada Sabtu lalu.

Pada masa sama Ellron menyeru agar masyarakat memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang.

Beliau berkata Pesta Kaamatan yang bertemakan ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’ amat relevan memandangkan alam semulajadi sememangnya sinonim dengan budaya dan adat resam KDMR.

“Melalui tema ini kita diseru agar dapat menggalas tanggungjawab bagi memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang.

Ekosistem ini harus kita pelihara dan pulihara kerana sambutan perayaan menuai padi amat berkait rapat dengan alam semulajadi yang merupakan satu pesta kebudayaan yang perlu diraikan dan dikekalkan” katanya.

Ini katanya, bertujuan bagi memastikan generasi seterusnya tidak lupa akan asal-usul nenek moyang mereka.

Oleh itu tambahnya, keaslian, keunikan budaya, tradisi dan etnik ini dapat dipelihara seterusnya tidak ditelan oleh arus pemodenan.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah merangkap ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin; Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey A.Suan, ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony; Pegawai Daerah Nabawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Daerah Nabawan 2022, Peter Jonu @Peter Moinjil, Pegawai Daerah Keningau Walter Kinson dan Pegawai Daerah Tambunan Sobitun Makanjil.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.