Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

FBI tawar AS$1 juta bagi maklumat mengenai wartawan Austin Tice

0

WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) masih menawarkan ganjaran sehingga AS$1 juta (RM4.6 juta) untuk maklumat yang boleh membawa wartawan Austin Tice kembali ke pangkuan keluarganya susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Syria.

“Memandangkan peristiwa baru-baru ini di Syria, FBI memperbaharui tawaran kami untuk maklumat yang boleh membawa kepada lokasi selamat, pemulihan dan kepulangan Austin Bennett Tice, yang ditahan di Damsyik pada Ogos 2012,” kata FBI dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Terdahulu, Presiden AS, Joe Biden turut menyentuh mengenai Tice semasa menyampaikan ucapan kepada seluruh negara mengenai kejatuhan rejim Assad.

“Kami sedia maklum terdapat sejumlah rakyat AS di Syria, termasuk mereka yang tinggal di sana… serta Austin Tice yang telah ditawan lebih 12 tahun lalu. Kami tetap komited untuk mengembalikannya kepada keluarganya,” kata Biden.

Debra Tice, ibu kepada Austin Tice, berkata beliau masih menyatakan keyakinannya bahawa anaknya masih hidup dan dilayan dengan baik, tanpa memberikan butiran lanjut.

“Kami menerima maklumat daripada sumber yang telah disahkan oleh kerajaan kami bahawa Austin Tice masih hidup dan dilayan dengan baik,” katanya pada sidang media di Washington, dikelilingi ahli keluarga.

“Kami ingin berhati-hati tentang apa yang dikongsi. Apa yang pasti, dia dijaga dan berada dalam keadaan baik,” tambahnya.

Austin Tice adalah seorang wartawan foto bebas yang bekerja untuk Agence France-Presse, McClatchy News, The Washington Post, CBS, dan beberapa agensi berita lain. Beliau ditahan di sebuah pos pemeriksaan di Daraya, pinggir bandar Damsyik, pada 14 Ogos 2012.

Sejak penculikannya, maklumat tentang keadaannya sangat terhad. Beliau muncul dalam satu video pada September 2012 dengan mata tertutup ketika berusia 31 tahun. Namun, identiti penculiknya kekal misteri hingga kini.

Pada 2022, Presiden AS Joe Biden menuduh kerajaan Syria menahan Tice dan menggesa pembebasannya diusahakan, namun Damsyik menafikan ia menahan mana-mana rakyat AS termasuk Tice.

Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, pada hari yang sama, enggan mengulas langsung mengenai kenyataan Debra Tice, tetapi menyebut bahawa Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan telah bertemu dengan keluarga Tice pada petang itu.

“Saya tidak dapat membayangkan apa yang mereka lalui ketika ini, pasti mereka terus berharap dan berdoa agar Austin dapat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Pada 2020, bekas Presiden Donald Trump pernah mengutus mesej peribadi kepada Bashar al-Assad untuk bertanya mengenai Austin Tice tetapi mengakui tidak tahu sama ada wartawan itu masih hidup.

Kenyataan keluarga Tice itu muncul kurang dua bulan sebelum pelantikan Trump sebagai presiden, yang diharapkan oleh keluarga tersebut dapat membawa penyelesaian kepada kes ini.

Perkembangan ini berlaku ketika pemberontak Syria melancarkan serangan besar-besaran, dengan berjaya menawan puluhan bandar utama.

Selepas menawan Aleppo, pemberontak kini berada di pintu masuk Homs, kira-kira 150 kilometer (km) dari Damsyik, dalam kemaraan dramatik selepas 13 tahun perang saudara. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.