BANDUNG: Gadis berasal dari Banjaran di Jawa Barat teruja selepas tiba-tiba akaun Instragram miliknya tular gara-gara disebut secara tidak sengaja oleh selebriti Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian.
Wanita dikenali sebagai Megah Purnamasari pada mulanya dilaporkan bersiaran langsung bersama temannya di laman Instagram pada 14 Mac lalu selepas selesai bekerja di pejabat.
Megah mula berasa hairan selepas menyedari terdapat ramai penonton dari luar negara yang melihat siaran langsungnya itu.
Kemudian salah seorang penonton dari Lebanon memaklumkan bahawa akaun Megah disebut oleh Kim Kardashian selama 14 jam dalam siaran akaun Instagram milik selebriti itu dan menghantar bukti gambar muat naik Kim yang menandai akaun Megah.
“Salah seorang penonton berkata dalam bahasa Inggeris memberitahu saya tidak sedar yang saya sudah menjadi bintang selepas Kim tag akaun saya,” kata Megah, ketika ditemui Kompas.com di kediamannya di Kampung Bojongsereh, Desa Lebak Wangi.
Wanita yang tinggal di Kampung Bojongsereh itu mulanya tidak percaya,tetapi selepas menamatkan siaran langsung itu, dia menyedari pemberitahuan di Instagramnya mula sibuk dan banyak akaun baharu mengikutinya termasuk beberapa netizen asing yang mengulas mengenai muat naik suapan terbaharu Megah.
“Saya terlompat-lompat gembira dan tertawa melihat gambar itu. Kemudian saya pulang ke rumah membuat kandungan menceritakan apa yang berlaku dan video itu tular semalaman sehingga saya dihubungi banyak media. Saya cukup terkejut,” katanya.
Kim sebelum itu dilaporkan memuat naik klip video baharu daripada penyanyi, Meghan Trainor yang turut menampilkan ibunya, Kris Jenner.
Dalam kapsyennya, Kim menulis pujian kepada ibunya tetapi ketika hendak menanda akaun Meghan Trainor, Kim sebaliknya tersilap memilih akaun Instagram Megah, @megaharainor yang hampir sama.
Kim kemudian membetulkan kesilapan itu beberapa jam kemudian.