SEMENANJUNG GAZA: Pejuang Hamas mengutuk gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan United Kigdom (UK) ke atas Yaman sambil memberi amaran tindakan itu akan menambahkan lagi `kekacauan’ di Timur Tengah.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata pengeboman ke atas pejuang Huthi sebagai `serangan terang-terangan ke atas kedaulatan negara-negara Arab dan peningkatannya akan mengheret wilayah itu ke dalam kegawatan berterusan’.
Semalam, AS dan UK menyerang banyak sasaran di Yaman iaitu operasi bersama ketiga mereka sebagai tindak balas kepada serangan berulang ke atas perkapalan Laut Merah oleh Huthi yang disokong Iran hingga mengganggu perdagangan global.
Serangan udara di Yaman itu berlaku sehari selepas gelombang berasingan serangan AS terhadap sasaran berkaitan Iran di Iraq dan Syria sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tiga askar AS di Jordan pada 28 Januari lalu.
Kempen pemusnahan Israel di Gaza akibat serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini semakin berkembang di seluruh Timur Tengah.
Ia turut mencetuskan keganasan yang membabitkan kumpulan bersekutu dengan Tehran di Lubnan, Iraq, Syria dan Yaman.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani, sebelum ini menuduh AS dan UK `menimbulkan huru-hara, kekacauan, ketidakamanan dan ketidakstabilan’ dengan menyokong Israel.
Beliau berkata, serangan ke atas Yaman adalah `jelas bercanggah dengan dakwaan berulang Washington dan London mereka tidak mahu peluasan perang dan konflik di rantau ini’.
– AFP