Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Inspektor polis terima rasuah dipenjara dan denda

0

SIBU (sarawak, Malaysia) — Seorang pegawai polis dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen Khas (Rasuah) di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah untuk melindungi pembalakan haram pada 2014.

Insp Mohamad Nazri Daheri, 36, dari Jabatan Siasatan Jenayah Kapit, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM15,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama serta penjara 14 bulan dan denda RM25,000 atau penjara lima bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dijatuhi hukuman penjara 20 bulan dan denda RM40,000 atau penjara lapan bulan.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong mengarahkan supaya hukuman penjara dijalankan berturut-turut namun pihak peguam Louis Jarau dan Rosli Gapor, yang mewakili Mohamad Nazri, memohon agar hukuman tersebut ditangguhkan kerana pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu tidak lama lagi.

Nixon membenarkan penangguhan hukuman penjara itu tetapi memerintahkan supaya denda berjumlah RM80,000 dibayar pada hari ini.

Mohamad Nazri yang ditahan pada 20 Okt 2014 di Sibu, dihadapkan ke mahkamah tersebut pada 8 Ogos tahun lalu atas tiga pertuduhan menerima rasuah tersebut sebagai dorongan untuk melindungi kegiatan pembalakan haram di Sungai Sut di Kapit.

Dia didakwa menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada lelaki bernama Stephen Kon di Restoran Tekam Cafe, Kapit pada kira-kira 3.40 petang, 24 Ogos 2014 dan menerima suapan RM5,000 daripada lelaki sama di Maybank Kapit pada 11.58 pagi, 11 Sept 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohamad Nazri didakwa menerima suapan RM8,000 daripada Stephen Kon di Restoran River Front Cafe, Hotel Kingwood di Sibu pada kira-kira 10.25 pagi, 20 Okt 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Law Chin How dan Pegawai Pendakwa SPRM Katherine Nais. — Bernama.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.