Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

James dan Hassan meriahkan program karnival pelatih TABS

0

Oleh DG HENRY

KEHADIRAN dua pemain legenda negara, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani turut memeriahkan program karnival bola sepak kanak-kanak TABS Safa Bandaraya di padang TABS SUKMA di sini, baru-baru ini.

JAMES DAN HASSAN – Lagenda bola sepak Malaysia

Karnival siri kedua itu membabitkan penyertaan kira-kira 450 pemain yang berusia 12, 10 dan lapan tahun.

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata pihaknya gembira atas kesudiaan kedua pemain legenda itu untuk hadir bersama bagi menjayakan program karnival tersebut.

Katanya, ini sebagai tanda penghargaan kepada James dan Hassan yang banyak mengharumkan nama negara dan negeri dalam sukan bola sepak sebelum ini agar ada lagi pemain hebat seperti mereka dapat diketengahkan di Sabah.

“Walaupun kanak-kanak tidak mengenali mereka namun, ini salah satu usaha kita memperkenalkan mereka kepada generasi baharu, yang patut dicontohi kerana kecemerlangan mereka dalam sukan ini,” kata Lokman.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata sumbangan kedua-dua pemain berkenaan dalam bola sepak negara sangat besar, sebab itu ia wajar dikenang dan dihargai malah mereka patut menjadi “lambang” kehebatan bola sepak di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menyokong usaha yang diambil Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan yang memberi peluang kepada bekas pemain negeri untuk terlibat dalam badan bola sepak negeri, pasukan wanita mahu pun dalam pasukan junior Sabah FC ketika ini.

Selain James dan Hassan, bekas pemain negeri yang turut dilibatkan dalam pengurusan pasukan ialah Matlan Marjan, Suharmin Yusof, Zainizam Marjan, Rozaimi Abdul Rahman dan Bobby Gonzales.

“Pendekatan ini sangat baik kerana selain mengenang dan menghargai jasa mereka, ia juga satu usaha memanfaatkan pengalaman mereka dalam bola sepak sebelum ini,” tegasnya.

Beliau juga berharap agar khidmat bekas pemain yang berpengalaman ini dapat dimanfaatkan dalam usaha Sabah memajukan kualliti dalam sukan bola sepak.

“Kita wajar mengenang dan menghargai penglibatan mereka, kalau bukan kita siapa lagi?”, soalnya.

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.