Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Junta Myanmar dakwa rampas semula bandar dikuasai pemberontak

0

YANGON: Junta Myanmar mendakwa tenteranya berjaya menawan semula sebuah bandar penting di timur negara itu yang dikuasai pemberontak, selepas pertempuran selama 16 hari.

Akhbar rasmi kerajaan, The Global New Light of Myanmar, melaporkan tentera junta berjaya menawan daerah Demoso termasuk bandar utama dan kawasan sekitarnya selepas pertempuran yang berakhir pada Selasa lalu.

Namun, seorang penduduk tempatan, Moe Moe, menafikan tentera menguasai sepenuhnya kawasan itu berikutan masih kedengaran tembakan, senjata berat dan serangan udara hampir setiap masa.

“Jika mereka benar-benar menguasai kawasan ini, kami sudah pasti melihat kehadiran mereka, tetapi setakat ini tiada yang kelihatan berhampiran kami,” katanya.

Demoso, yang terletak 105 kilometer ke timur ibu negara Naypyidaw, menyaksikan pertempuran sengit sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan demokratik pada 2021 yang mencetuskan perang saudara.

Junta yang bergelut untuk mengekalkan kuasa itu merancang mengadakan pilihan raya bermula 28 Disember di kawasan yang berada di bawah kawalan mereka.

Bagaimanapun, pilihan raya itu dikritik pemerhati antarabangsa yang menganggap ia sebagai usaha junta untuk menjenamakan semula pemerintahan tentera yang menahan pemimpin demokratik Aung San Suu Kyi sejak rampasan kuasa.

Bancian yang dijalankan junta sebagai persiapan pilihan raya gagal menghubungi hampir empat daripada 10 rakyat dalam negara yang mempunyai lebih 50 juta penduduk, sekali gus menunjukkan keterbatasan pilihan raya itu.

Akhbar itu turut melaporkan enam mayat ditemui selepas kumpulan pejuang pro-demokrasi dan kumpulan bersenjata etnik di kawasan itu diusir keluar.

“Beberapa anggota pasukan keselamatan turut cedera dan terbunuh,” menurut laporan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Gambar yang disiarkan menunjukkan junta bergambar dengan senjata diangkat di hadapan papan tanda bertulis “Selamat Datang ke Demoso”.

Lebih 130,000 penduduk dilaporkan hilang tempat tinggal di negeri Kayah, lokasi Demoso yang terletak di persimpangan dua lebuh raya utama yang menghubungkan Naypyidaw dan ibu kota komersial, Yangon.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen demokratik yang digulingkan menggesa rakyat memboikot pilihan raya itu, manakala parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi yang popular sudah dibubarkan.

Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), sebuah pentadbiran yang mengisytiharkan diri sebagai kerajaan dalam buangan, berkata kumpulan tentera pengganas sedang cuba mengadakan pilihan raya tidak sah dan penuh penipuan untuk terus mengekalkan kuasa.

“Semua kumpulan revolusi digesa bersatu bersama rakyat untuk menolak dan mengatasi perangkap ini,” menurut kenyataan itu. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.