Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kadar bayaran pengadil di Sabah perlu diselaraskan – Bung

0

Oleh DG HENRY dan EKOK AMIN

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta supaya kadar bayaran pengadil yang mengadili sebarang kejohanan bola sepak yang dianjurkan di negeri ini diselaraskan demi kebaikan sukan itu.

Katanya, bayaran pengadil yang tidak selaraskan akan membantutkan usaha untuk memajukan bola sepak kerana ia menyebabkan kurang penganjuran diadakan.

“Satu ketetapan penyelarasan kadar bayaran pengadil sewajarnya dibuat oleh SAFA dan pihak pengadil yang bertauliah bagi menggalakkan penganjuran bola sepak di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Bung Moktar berkata, kadar bayaran pengadil peringkat negeri dan daerah yang munasabah dan sesuai perlu ditetapkan dan dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Pengadil Negeri SAFA yang dipengerusikan Timbalan Presiden SAFA, Datuk Juil Nuatim berbincang dengan Pengerusi Pembangunan Kepengadilan Negeri, Dr Sani Tari dalam masa terdekat bagi mengambil keputusan penyeragaman kadar bayaran pengadil di negeri ini.

“Perbincangan itu harus membuat keputusan dan ketetapan untuk dilaksanakan bagi membantu menggalakkan penganjuran bola sepak baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat negeri,” tegasnya.

Sebelum ini, SAFA menerima banyak rungutan dari seluruh negeri berhubung kadar bayaran pengadil yang tidak seragam yang didakwa menjejaskan pihak tertentu menganjurkan pertandingan bola sepak.

Menurut beliau, dengan langkah menyeragamkan bayaran pengadil itu secara tidak langsung akan membantu usaha memperbanyakkan kejohanan dianjurkan sekali gus membantu membangunkan sukan bola sepak di Sabah.

Beliau seterusnya berharap perkara itu akan dapat ditangani dengan kerjasama kedua-dua pihak setelah perbincangan mereka dapat dijayakan nanti.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.