Oleh DG HENRY

DAERAH Keningau telah menggariskan 37 program bagi pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mengimbangi pembangunan antara bandar dan luar bandar,” kata Pegawai Daerah, Walter Kenson di sini.
Katanya, 12 program telah digariskan untuk pertanian, lapan perindustrian, empat pelancongan, enam modal insan dan kesejahteraan rakyat, tujuh pembangunan infrastruktur.

Menurut beliau, strategi kelima-lima program ini adalah memodenkan pertanian dan penternakan tradisional, mengoptimumkan industri hiliran dan luar bandar, meningkatkan pelancongan tempatan, membangunkan modal insan dan kesejahteraan rakyat dan memantapkan jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Pada masa yang sama, saya juga telah menggariskan 13 pelan strategik pembangunan daerah ini bagi memandu hala tuju pembangunan khususnya yang boleh dirasai oleh penduduk terutama pelan penggunaan bandar, pelan pengurusan sisa pepejal, pelan mengurangkan lalu lintas dan pelan pertebatan banjir di daerah ini.

“Pelan-pelan ini yang dirasai penduduk supaya kesejahteraan mereka terus terpelihara dan terjaga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan live streaming Majlis sambutan setahun Hala Tuju SMJ dari Sabah International Convention Centre (SICC) Kota KInabalu bersama-sama ketua dan pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri di dewan Koningau Majlis Daerah Keningau pada Selasa lalu.
Walter berkata, dalam pelaksanaan Hala Tuju SMJ peringkat daerah ini, enam aspek utama telah dikenalpasti yang akan diberi tumpuan oleh Majlis Daerah Keningau supaya dengan keseluruhan program pembangunan ini dapat diseimbangkan antara pembangunan bandar dan luar bandar.

Katanya, secara tidak langsung tahap peningkatan kawasan bandar dan luar bandar akan dapat diselaraskan supaya penduduk di luar bandar tidak akan ketinggalan jauh.
“Apa yang kita tekankan untuk pembangunan ekonomi luar bandar ialah kita akan perincikan program-program khusus supaya asas ekonomi Keningau yang lebih menumpukan kepada aspek pertanian dalam usaha meningkatkan produktiviti petani-petani dengan penggunaan teknologi baharu bagi menghasilkan hasil pendapatan pertanian yang lumayan.
“Selain daripada itu dalam strategi SMJ peringkat Keningau, kita juga menumpukan kepada aspek pemasaran dengan meletakkan satu strategi bagi menggalakkan penduduk luar bandar dapat memasarkan produk–produk hasil pertanian mereka dengan melalui aplikasi telepon pintar.
“Ini kita beri tumpuan yang khusus bagi kita cuba mengejar dan juga menyesuaikan keadaan masa yang mana kita tidak perlu lagi bergerak jauh memasarkan produk-produk kita dan kita akan optimumkan penggunaan ini kepada penduduk-penduduk kampung,” katanya.
Walter berkata, untuk mencapai SMJ di peringkat Keningau lebih memberikan fokus kepada bidang pertanian yang menjadi teras utama ekonomi bagi daerah ini sejak dari dahulu hingga sekarang dan yang akan datang.
Beliau juga berpuashati dengan kehadiran ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan Persekutuan dan Negeri yang hadir di dewan Koningau Majlis Daerah Keningau semasa live streaming Majlis sambutan setahun Hala Tuju SMJ dari SICC Kota KInabalu pada Selasa lalu.
“Hari ini (Selasa) kita menyambut setahun Hala Tuju SMJ bersama-sama dengan sambutan di peringkat negeri secara live streaming bersama-sama dengan 250 orang ketua-ketua dan pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri di daerah keningau,” katanya.
Walter berkata, yang penting pengurusan daerah berjaya mengumpul semua ketua-ketua dan pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri dan pada masa yang sama juga beliau turut memberikan taklimat dan penjelasan mengenai dengan tafsiran dan pelaksanaan Hala Tuju SMJ dalam kontek Keningau.
![]()