KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata kesemua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepakat untuk terus mengekalkan kerjasama di peringkat negeri Sabah bagi mendukung mandat yang rakyat berikan semasa Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) lalu.
Pengerusi GRS itu berkata, pemimpin gabungan itu sebulat suara untuk terus bekerjasama bagi membolehkan mereka terus memerintah di negeri Sabah.
“Saya telah berhubung dengan semua pemimpin parti komponen GRS berkaitan perkembangan politik terkini di Kuala Lumpur.
“Kami sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan negeri yang memerintah hari ini akan diteruskan.
“Kami akan terus mendukung mandat yang diberikan kepada kami dalam PRN yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu pada Selasa.
Menurut Hajiji, semua pemimpin GRS juga sepakat untuk mengambil apa jua langkah yang perlu untuk memantapkan dan memperkuatkan lagi kerajaan GRS.
“Saya berdoa agar kemelut politik di Kuala Lumpur dapat diselesaikan dengan segera secara baik dan saksama agar kita dapat memberi tumpuan kepada usaha menangani ancaman pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.