Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kerajaan setuju libatkan wakil rakyat kempen vaksinasi — Dr. Jeffrey

Rentetan kadar pendaftaran mysejahtera di Sabah sangat rendah

0
Dr. Nor (dua kiri) memberi taklimat kepada Dr. Jeffrey mengenai perjalanan proses vaksinasi di Pusaat Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Zon Pedalaman Sabah di Keningau

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata,  kerajaan telah bersetuju melibatkan semua wakil rakyat negeri dan parlimen berkempen untuk menggalakkan proses vaksinasi berjalan dengan cepat di negeri Sabah.

Katanya, kerajaan negeri sedar bahawa proses vaksinasi di negeri itu sangat rendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Sebab itu kita gunakan pelbagai kaedah termasuk melibatkan pemimpin akar umbi untuk mempercepatkan proses vaksinasi di sini (Sabah),”

“Pada masa yang sama saya juga mahu supaya kelinik-kelinik swasta dan kerajaan  digerakkan untuk tujuan ini (vaksinasi),” Katanya kepada  media selepas ditemui ketika melakukan lawatan ke Pusat Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 Zon Pedalaman Sabah di sini pada Ahad.

Pusat imunisasi yang ditempatkan di dewan masyarakat Keningau itu mampu memuatkan seramai 500 pelanggan dalam satu masa.

Jeffrey berkata, kapasiti pusat itu akan ditingkatkan dengan penggunaan sebuah lagi bangunan bersebelahan yang mampu memuatkan seramai 1000 pelanggan.

“Saya diberi taklimat mengenai perkembangan ini dan ia sesuatu yang sangat positif untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi ini,” Katanya.

Jeffrey yang merupakan Ahli Dewan Rakyat (MP) kawasan Keningau memberitahu bahawa proses pendaftaran melalui aplikasi mysejahtera di negeri ini sangat rendah, dan mengesa agensi yang terlibat supaya menyediakan kaedah yang mudah bagi membolehkan semua rakyat di negeri ini mendaftar untuk mendapatkan dos suntikan vaksin.

“Saya mahu kempen dilakukan supaya pendaftaran melalui mysejahtera untuk suntikan ini dipercepatkan,” Tambahnya.

Jeffrey berada di pusat itu hampir sejam dan sempat berintraksi dengan petugas barisan hadapan serta bertanya khabar dengan orang ramai yang selesai mendapat suntikan vaksin.

Turut mengiringi Jeffrey dalam lawatan itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik @ Nordin, Wakil Rakyat Liawan Datuk Anuar Banan Datuk Annuar Ayub @ Banan, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson, Pegawai Kesihatan Daerah Keningau Dr. Norhaizam bin Ahmad @ Narawi.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.