MANILA: Filipina mendakwa tiga anggota tenteranya mengalami kecederaan akibat tembakan meriam air oleh Pengawal Pantai China terhadap sebuah kapal Manila di Laut China Selatan, semalam.
Kerajaan Filipina turut mendakwa, konfrontasi berkenaan mengakibatkan kerosakan teruk pada kapal Unaizah May 4 yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar tentera dan bekalan ke sebuah kapal tentera laut Filipina di Beting Second Thomas.Ads by
Penasihat Keselamatan Nasional Filipina, Eduardo Ano, mendakwa tiga personel tentera laut terbabit berada di atas kapal berkenaan ketika kejadian.
Tahap dan jenis kecederaan mereka tidak didedahkan, namun pihak tentera memaklumkan bahawa mangsa telah dirawat di atas sebuah kapal pengiring Pengawal Pantai.
“Ia hanya operasi biasa membabitkan penggiliran serta pembekalan semula tetapi lihatlah cara China memberi reaksi,” dakwa Ano kepada pemberita, hari ini, menurut transkrip wawancara yang dikongsikan dengan AFP.
Bagaimanapun, Ano berkata, kapal yang rosak itu telah belayar pulang ke wilayah Palawan selepas kru berjaya menghidupkan semula enjinnya.
“Kami tidak akan berhenti. Kami tidak akan gentar,” katanya sambil berikrar Filipina akan terus melaksanakan operasi pembekalan semula kepada pasukan di Beting Second Thomas.
China telah menuntut hak ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, sekali gus menafikan tuntutan bertindih oleh beberapa negara lain termasuk Filipina, dan juga menolak keputusan antarabangsa bahawa tuntutan Beijing itu tidak mempunyai asas undang-undang.
Pada 5 Mac lalu, empat kru dikatakan mengalami kecederaan akibat cermin pecah dalam insiden serangan meriam air yang didakwa dilakukan Pengawal Pantai China ke atas kapal sama.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) yang menjalinkan pakatan pertahanan bersama Manila, turut mengutuk serangan berkenaan.
“Tindakan (China) itu menggugat kestabilan serantau, malah jelas menunjukkan undang-undang antarabangsa telah tidak dihiraukan,” dakwa jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller.
Bagaimanapun, Pengawal Pantai China mempertahankan tindakan mereka dengan menyifatkannya sebagai ‘peraturan, pemintasan dan pengusiran yang sah’ terhadap sebuah kapal asing yang didakwa ‘cuba melakukan pencerobohan secara paksa’ ke dalam perairan China. – AFP