Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kapal tangki China dibedil peluru berpandu Houthi di Laut Merah

0

DUBAI: Sebuah kapal tangki minyak milik China diserang pejuang Houthi menggunakan peluru berpandu balistik di perairan di luar Yaman Sabtu lalu.

Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pejuang Houthi meningkatkan serangan ke atas perkapalan Laut Merah, sekali gus menjejaskan laluan perdagangan laut utama global.-

Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM), dalam satu kenyataan di platform media sosial X awal Ahad berkata, kapal Huang Pu yang mengibarkan bendera Panama, dimiliki dan dikendalikan oleh China, membuat panggilan kecemasan tetapi tidak meminta bantuan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan kapal itu meneruskan perjalanannya,” menurut kenyataan itu.

Houthi yang disokong Iran itu menguasai sebahagian besar Laut Merah di Yaman dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu serta dron ke atas kapal dagang merentasi laluan itu.

Tindakan itu dimulakan dengan menyasarkan kapal berkaitan Israel sekitar empat bulan lalu atas alasan menunjukkan solidariti dengan perjuangan penduduk Palestin di Gaza, yang tersepit dalam perang antara Israel dan Hamas.

Namun, tindakan itu kini semakin dikritik masyarakat antarabangsa keraan hampir kesemua kapal dagang yang menggunakan Laut Merah menjadi sasaran mereka.

CENTCOM dan Operasi Perdagangan Marin United Kingdom (UKMTO) tentera laut Britain berkata kebakaran berlaku di atas kapal milik China itu tetapi dapat dipadamkan dalam masa 30 minit.

Laman sesawang penjejakan, Marinetraffic, kemudian mengarahkan kapal itu belayar keluar dari Laut Merah ke Teluk Aden menuju ke pelabuhan seterusnya di New Mangalore di India.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu, yang menurut UKMTO berlaku di lokasi 23 batu nautika di barat pelabuhan Yaman di Mokha.

CENTCOM berkata Houthi melancarkan empat peluru berpandu balistik anti-kapal di Laut Merah berhampiran Huang Pu sebelum peluru kelima menghentam kapal itu.

“Houthi menyerang MV Huang walaupun sebelum ini menyatakan mereka tidak akan menyerang kapal China,” katanya.

Menurut agensi keselamatan maritim, Ambrey, butiran pendaftaran kapal tangki itu, termasuk nama dan pengendali, ditukar baru-baru ini pada Februari 2024.

Ia didaftarkan pada 2019 oleh firma Britain, Union Maritime Ltd, dan sebuah lagi kapal yang bergabung dengan syarikat sama sebelum ini turut disasarkan oleh Houthi.

Houthi berikrar akan menyerang kapal Israel, Britain dan AS, serta kapal yang menuju ke pelabuhan Israel selain mengganggu lalu lintas di sepanjang laluan perdagangan penting.

AS, yang mengetuai gabungan antarabangsa bertujuan untuk melindungi perkapalan Laut Merah, turut menjadi sasaran Houthi di Yaman sejak pertengahan Januari.

CENTCOM berkata, berikutan serangan ke atas Huang Pu, tentera AS mematahkan serangan enam dron dilancarkan oleh Houthi, yang mana lima daripadanya terhempas ke Laut Merah dan keenam terbang ke kawasan dikuasai Houthi di Yaman. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.