JAKARTA: Siapa bakal menjadi pilihan Joko Widodo (Jokowi) untuk menggantikan tempatnya sebagai Presiden Indonesia dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 masih menjadi tanda tanya hingga kini.
Namun, penganalisis berpendapat, semakin jelas menunjukkan Jokowi cenderung menyokong Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto sebagai calon presiden dan bukannya calon dari partinya sendiri, iaitu Ganjar Prabowo.
Pakar politik berpandangan, Prabowo, 71, yang juga pemimpin Parti Gerindra, komited sepenuhnya untuk menyokong kerjaya politik keluarga Jokowi.
Hal ini kerana, Jokowi tidak mungkin menerima sokongan seperti itu daripada partinya sendiri, iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) kerana beliau hanya dianggap sebagai pegawai parti dan tidak pernah dijanjikan atau ditawarkan jawatan tinggi dalam PDI-P.
Jokowi dan Prabowo sebelum ini menarik perhatian media apabila dilihat muncul bersama ketika perlawanan persahabatan bola sepak antarabangsa antara Indonesia dan Argentina di Jakarta.
Pada awal bulan ini pula, seorang daripada anak lelaki Jokowi, Kaesang Pangarep, 28, dilihat memakai baju dengan cetakan wajah Prabowo semasa melawat pesta kebudayaan Indonesia di Ansan, Korea Selatan.
Ketika ditanya mengenai pakaiannya di media sosial, Kaesang berkata beliau adalah peminat Prabowo dan itu bukan kali pertama beliau memakai baju seumpamanya, sehingga menarik perhatian media.
Sebelum ini, tinjauan akhbar tertua Indonesia, Kompas, mendedahkan sokongan terhadap Jokowi mampu mempengaruhi pengundi dengan 53 peratus responden akan mempertimbangkan pilihannya manakala 16 peratus akan mengundi mengikut keutamaan mereka.
Pakar politik berkata kerjaya politik ahli keluarga Jokowi akan lebih selamat jika beliau memihak kepada Prabowo, berbanding Ganjar, 54, seorang anggota PDIP yang juga kini Gabenor Jawa Tengah.
Prabowo dan Ganjar adalah dua calon paling popular dan boleh dipilih untuk pilihan raya presiden akan datang, menurut pelbagai tinjauan pendapat.