Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

 Letupan bom, tembakan iringi Ramadan di Ukraine

0

DNIPRO, Ukraine: Penduduk beragama Islam di Ukraine sudah pun mula berpuasa semalam, namun Ramadan kali ini berbeza berbanding sebelum ini susulan peperangan yang tercetus.

Lapor Al-Jazeera, situasi itu secara tidak langsung menjejaskan rancangan banyak organisasi kebajikan untuk meraih sumbangan untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan.

“Kami perlu mengubah semua rancangan dan pelan yang dilakukan sebelum ini.

“Banyak penduduk beragama Islam sudah pergi ke luar negara dan mereka yang masih berada di Ukraine amat memerlukan bantuan segera,” kata Ketua Liga Islam Ukraine, Niyara Nimatova.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 10 juta penduduk Ukraine kehilangan tempat tinggal dan empat juta lagi melarikan diri ke negara jiran selepas lima minggu Rusia menyerang negara ini.

Komuniti Islam menyumbang satu peratus daripada jumlah populasi Ukraine.

Jelas Niyara, persiapan Ramadan tahun ini berdepan kesukaran dan emosi selepas banyak kawasan dikenakan perintah berkurung, selain ‘bila-bila masa bom akan digugurkan dan penduduk boleh menjadi mangsa’.

Namun, itu tidak menyekat semangat penduduk Islam di negara ini untuk menikmati Ramadan dengan sepenuh hati.

“Kami perlu bersedia sebaik mungkin untuk menikmati Ramadan dan mencari keampunan Allah SWT serta memohon doa supaya peperangan ini segera berakhir dan semuanya kembali seperti biasa walaupun sukar,” kata wanita itu.

Sebagai bangsa Tatar di Crimea, Niyara sudah pun kehilangan tempat tinggal selepas Rusia menceroboh wilayah itu pada 2014, menyebabkan dia dan keluarganya berpindah wilayah Zaporizhzhia.

Katanya, dia tidak pernah terfikir akan meninggalkan Crimea dan juga tidak menyangka situasi serupa berulang sekali lagi ketika ini.

“Di Zaporizhzhia, komuniti Islam terdiri daripada pelbagai bangsa dan mereka akan menyediakan pelbagai hidangan tradisi setiap kali menjelang Ramadan.

“Namun semuanya tinggal kenangan apabila kami kini hanya dihidangkan dengan bunyi siren, malah masa terasa sangat lambat, seolah-olah peperangan ini sudah tercetus selama 10 tahun,” ujarnya.

LARI DARI RUMAH

Dalam pada itu, seorang peniaga rakyat Turki yang tinggal di Ukraine sejak 2010 menyatakan, Isa Celebi berkata, Ramadan tahun ini menyaksikan penduduk takut tinggal di rumah masing-masing sehinggakan mereka sanggup ‘berkampung di dalam kenderaan’.

Sehubungan itu, dia dan keluarganya bersedia berkongsi rumahnya dengan penduduk lain, termasuk berkongsi bekalan makanan.

“Peperangan ini menjejaskan kami semua. Perniagaan saya sudah terhenti sepenuhnya, namun saya yakin semua ini akan berakhir segera dan kita akan hidup seperti biasa,” jelasnya.

Sejak peperangan tercetus, Isa sudah membantu memindahkan 400 penduduk termasuk komuniti Islam dari tempat tinggal mereka di bandar Vinnytsia di barat Ukraine keluar dari negara ini.

Kini, Isa giat membantu 1,000 anak yatim dengan harapan dapat meringankan beban mereka menerusi sumbangan zakat.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.