Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Parti GERINDRA singkir Anies untuk calon Gabenor Jakarta

0

JAKARTA: Parti Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA), antara parti terbesar di Indonesia mengesahkan akan mencalonkan pemimpin baharu menggantikan Anies Baswedan pada pemilihan gabenor Jakarta akan datang.

Keputusan itu sekali gus menandakan GERINDRA yang dipimpin Prabowo Subianto menyingkirkan Anies yang sebelum ini disokong parti itu bagi pemilihan Jakarta 2017.

Portal berita CNA melaporkan Anies bertanding jawatan presiden pada Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) pada lalu tetapi tidak memenanginya selepas Prabowo yang juga bekas jeneral muncul sebagai pemenang dalam pertembungan tiga penjuru.

Setiausaha Agung GERINDRA, Ahmad Muzani, berkata partinya lebih cenderung menyokong calon muda dan baharu untuk bertanding dalam pilihan raya Jakarta serta mengisi jawatan gabenor baharu bagi bandar raya yang akan kehilangan statusnya sebagai ibu negara itu tidak lama lagi.

Ibu kota baharu Nusantara di Kalimantan Timur akan mengambil alih status itu pada Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79, 17 Ogos depan.

Ahmad berkata, GERINDRA berusaha memperjuangkan tokoh baharu bagi kerusi Gabenor Jakarta dengan perbincangan dalam kalangan rakan gabungan sedang dilakukan untuk memuktamadkan pencalonan.

“Kami mahukan calon muda dan baharu bagi pilihan raya Jakarta,” katanya yang dipetik Jakarta Globe Khamis lalu. Malah beliau seakan menyindir Anies ketika diajukan mengenai sokongannya terhadap pemimpin itu.

Anies memenangi jawatan Gabenor Jakarta pada 2017 dengan sokongan GERINDRA dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Selepas menamatkan perkhidmatannya, Anies bertanding untuk jawatan presiden dengan Pengerusi Parti Kebangkitan Nasional (PKB), Muhaimin Iskandar sebagai regunya dan dengan sokongan dua parti, PKS dan Parti Demokratik Nasional (NasDem).

GERINDRA dan parti lain membawa haluan berbeza dengan Anies, dengan pengerusi Gerindra, Prabowo dan pasangannya Gibran Rakabuming Raka turut menyertai persaingan presiden yang berlangsung 14 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) mengisytiharkan Prabowo dan Gibran sebagai pemenang pilihan raya, memperoleh 58.59 peratus daripada jumlah undi yang dikeluarkan.

Anies-Muhaimin Iskandar memperoleh dengan 24.95 peratus undian.

Anies bersama seorang lagi calon presiden yang tewas, Ganjar Pranowo mendakwa berlaku penipuan dan penyelewengan pilihan raya.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia dijangka mengeluarkan keputusannya pada 22 April ini.

Jika mahkamah menolak dakwaan itu, Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung Presiden Joko Widodo akan mengangkat sumpah jawatan mereka pada Oktober.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.