TEHRAN (Jun 19, 2025 @ 4.00pm): Peluru berpandu Iran menyebabkan kerosakan serius di empat lokasi di tengah dan selatan Israel, termasuk Hospital Soroka, tatkala tentera Israel dilaporkan menyerang reaktor nuklear Iran di Arak.
Angka korban akibat serangan Israel ke atas Iran meningkat melebihi 240 orang, termasuk 70 wanita dan kanak-kanak manakala sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dalam serangan Iran ke atas Israel.
Walaupun Iran menanggung lebih banyak kemalangan jiwa dan kemusnahan, majoriti gambar yang disiarkan agensi media Barat mengenengahkan kesan serangan Iran terhadap Israel.
Paparan berita pula cuba menonjolkan Israel sebagai ‘mangsa’ sedangkan mereka yang mula menyerang Iran tanpa provokasi, memaksa serangan balas bagi mempertahankan diri.
Antara serangan balas itu termasuk serangan peluru berpandu Iran membedil kawasan Ramat Gan di daerah Tel Aviv, di mana akhbar The Times of Israel melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang cedera ringan dalam serangan itu.
Seperti dilaporkan sebelum ini, bangunan Bursa Saham Tel Aviv antara yang rosak dalam serangan terbaharu Iran.
Menteri Kesihatan Israel, Uriel Buso, berkata Iran telah melampaui batas dengan menyasarkan Hospital Soroka di Be’er Sheva di selatan menggunakan peluru berpandu.
“Ini adalah jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Iran,” katanya yang dipetik dilaporkan Radio Tentera Israel.
Media Israel melaporkan berlaku kerosakan pada hospital itu susulan serangan peluru berpandu Iran. Sekurang-kurangnya 30 orang cedera di Israel selepas serangan besar-besaran itu.
Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) dalam kenyataan di Telegram menyatakan bahawa sasaran utama serangan peluru berpandu pagi tadi adalah ibu pejabat utama Komando dan Risikan Tentera Israel (IDF C4I) serta kem risikan tentera di Taman Teknologi Gav-Yam.
Kemudahan itu terletak bersebelahan Hospital Soroka di Be’er Sheva.
IRNA mendakwa hospital hanya mengalami kerosakan kecil akibat gelombang letupan daripada serangan itu.
“Infrastruktur ketenteraan menjadi sasaran secara tepat dan langsung,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, dilaporkan satu peluru berpandu Iran turut mengenai kawasan Holon dalam daerah Tel Aviv.
Perkhidmatan kecemasan Magen David Adom Israel mengesahkan seorang individu cedera parah dalam serangan itu, manakala lebih 24 lagi cedera ringan.
Terdapat empat lokasi utama bedilan dilaporkan, tiga di tengah Israel, di kawasan Gush Dan yang merangkumi wilayah Tel Aviv yang lebih besar.
Beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk, termasuk sebuah di Holon yang dilaporkan runtuh. Satu lagi lokasi bedilan ialah berhampiran Hospital Soroka.
Hospital berkenaan adalah antara yang terbesar di Israel dan ketika ini menerima ramai anggota tentera yang cedera akibat perang di Gaza.
Difahamkan hospital itu bukan sasaran utama, sebaliknya bangunan bersebelahan yang menjadi sasaran.
Namun, ia tetap mengalami kerosakan besar dan petugas perubatan menasihatkan orang ramai tidak menghampiri kawasan serangan.
Pasukan penyelamat masih menjalankan pemeriksaan di bangunan dan runtuhan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Sehingga kini, seramai 25 orang dilaporkan cedera dalam serangan terbaharu Iran, angka itu dijangka bertambah. – AGENSI
![]()