Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pemberontak Myanmar setuju gencatan senjata 4 hari dengan tentera di Shan

0

YANGON: Kumpulan bersenjata etnik minoriti Myanmar mengesahkan bersetuju melakukan gencatan senjata dengan tentera pemerintah selama empat hari di kawasan utara Shan.

Gencatan senjata itu dipersetujui selepas berlakunya pertempuran selama berminggu-minggu, di mana kumpulan berkenaan merampas wilayah daripada tentera, bersama lebuh raya utama ke China.

Kawasan sempadan Myanmar adalah destinasi kepada pelbagai kumpulan bersenjata etnik minoriti dengan beberapa daripadanya bertempur dengan tentera selama beberapa dekad untuk mendapatkan kuasa dan kawalan sumber seperti jed atau candu.

Mejar Jeneral Tar Bhone Kyaw dari Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA), berkata mereka bekerjasama dengan kerajaan China dan bersetuju melakukan gencatan senjata selama empat hari di Shan Utara, bermula semalam hingga Khamis ini.

Shan Utara digemparkan dengan pertempuran sejak akhir bulan lalu apabila kumpulan ‘Three Brotherhood Alliance’ memperbaharui serangan terhadap tentera di sepanjang jalan ke wilayah Yunnan China.

Pertempuran itu ‘meruntuhkan’ gencatan senjata yang dibantu oleh Beijing pada Januari lalu bagi menghentikan serangan oleh kumpulan perikatan berkenaan yang terdiri daripada Tentera Arakan, Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar dan TNLA.

“Perjanjian empat hari itu tidak meliputi wilayah Mandalay, di mana anggota perikatan dan penentang tentera yang lain memerangi tentera junta sejak beberapa minggu kebelakangan ini,” katanya.

Jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.