TAYANGAN filem berbahasa Kadazan, ‘Huminodun’ melengkapkan aspirasi kerajaan Sabah untuk membangunkan industri kreatif di negeri ini.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman memuji para pembikin filem atas usaha mereka yang dapat menggalakkan lagi bakat kreatif di negeri ini untuk berkembang.
“Kerajaan negeri telah mengenal pasti industri kreatif sebagai bidang pembangunan yang penting dan selepas menyaksiklan banyak usaha yang dijalankan oleh rakyat Sabah dalam menghasilkan filem ini, ia melengkapkan aspirasi kitra.
“Kesan industri kreatif pada pembangunan adalah sesuatu yang penggubal dasar di seluruh dunia memberi penekanan dengan negara seperti Korea Selatan dan New Zealand, menjadikannya sebagai landasan pertumbuhan ekonomi,” kata beliau pada tayangan dilem Huminodun di sebuah pawagam di sini baru-baru ini.
Musa yang gembira pembikin filem Huminodun, Siung Films Sdn Bhd, terdiri daripada 99 peratus bakat rakyat Sabah dan telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi di negeri ini untuk memberi gambaran sebenar warisan Sabah yang dipaparkan dalam filem itu.
Organisasi tersebut antaranya ialah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Majlis Wanita KDCA dan Yayasan Bahasa Kadazandusun.
Filem berdurasi selama satu jam itu dibintangi oleh Unduk Ngadau ratu cantik Pesta Menuai Kota Marudu tahun lepas, Alexandra Alexander sebagai Huminodun, dewa legenda Kadazandusun yang mengorbankan dirinya sebagai balasan untuk hasil tanaman yang lumayan bagi menyelamatkan manusia daripada bencana kebuluran.
Filem tersebut diterbitkan oleh Josephine Luping, anak perempuan kepada bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Dr Herman Luping, dan diarahkan oleh suaminya Aaron Cowan, yang mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam produksi filem Hollywood seperti trilogi Lord of the Rings, Avatar, Man of Steel, Dawn of the Planet of the Apes dan The Chronicles of Narnia.