KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Pemimpin politik yang mendakwa masing-masing Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Shafie Afdal diminta agar duduk semeja untuk membincangkan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.
“Mereka (Musa dan Shafie) perlu duduk untuk bincang … anda perlu bertolak ansur untuk mencari pendekatan,” Jelas Persatuan Anak-Anak Peribumi Dusun Pedalaman Sabah (PERIBUMI) dalam satu kenyataan.
Peribumi berkata, jika kedua-duanya sukar untuk duduk semeja, pilihanraya baru dicadangkan perlu dibuat untuk menamatkan krisis tersebut.
“Ini adalah cara terbaik dan ia boleh dilakukan dengan dua kaedah, tunggu keputusan mahkamah yang dikemukakan oleh Musa, atau Musa dan Sahfie bersetuju untuk satu lagi pembubaran,” jelas persatuan itu.
Pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman memfailkan writ saman terhadap Tun Juhar Mahiruddin dan Datuk Seri Shafie Apdal memohon pengisytiharan bahawa beliau (Musa) kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.
Writ itu juga memohon pengisytiharan bahawa majlis mengangkat sumpah presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah adalah menyalahi perlembagaan.
Writ itu juga memohon pengisytiharan bahawa apa-apa dan semua tindakan oleh Shafie yang dikatakan sebagai Ketua Menteri adalah batal, tidak sah dan tidak terpakai.
Writ itu difailkan oleh Tetuan F.T. Ahmad & Co, yang mewakili Musa dan menamakan Tun Juhar dan Mohd Shafie, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, sebaik writ diserahkan, Juhar dan Shafie mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan kehadiran..
Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei sementara Mohd Shafie mengangkat sumpah pada 12 Mei.
Peribumi berkata, dengan saman yang dikemukakan oleh Musa kepada Juhar dan Sahafie pada Jumaat, meletakkan politik Sabah dalam situasi yang tidak menentu.
“Negeri ini tidak akan dapat ditadbir dengan baik,” Tambah persatuan itu dan memberitahu kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis.
Peribumi tidak menolak kemungkinan satu pilihanraya baru akan berlaku di Sabah dalam tempoh terdekat ini.
525 total views, 2 views today