Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Rakyat Malaysia disyaki ‘orang paling penting’ sindiket dadah di tahan di Laos

0

BANGKOK: Seorang warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana kesalahan menyeludup dadah, ditahan dalam satu operasi bersama oleh pihak berkuasa Thailand dan Laos, baru-baru ini.

Menurut polis Thailand, warga Malaysia berusia 39 tahun itu merupakan individu yang didakwa pengedar dadah dan ‘orang penting sindiket dadah’ yang bersembunyi di Laos.

Penolong Ketua Polis Thailand, Jeneral Panurat Lakboon, berkata Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) yang menyiasat lelaki Malaysia itu, mengesyaki dia memainkan peranan penting sebagai orang tengah dan penyelaras dalam perdagangan dadah di kawasan Segitiga Emas sejak 2006.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan di Laos pada Jumaat lalu.

“Suspek bekerjasama dengan rangkaian dadah di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura dan Laos.

“Suspek juga menggunakan Thailand sebagai medium untuk pengubahan wang haram dan sebagai tempat transit bagi penyeludupan dadah, termasuk ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.

“Penangkapan itu adalah hasil siasatan berterusan dan penyelarasan rapat antara agensi penguatkuasaan Thailand, Malaysia dan Laos,” katanya dalam satu kenyataan.

Panurat berkata, penyiasat mengenal pasti lelaki itu sebagai suspek utama di sebalik kes dadah terbesar pada Jun tahun lalu, membabitkan rampasan 998 kilogram kristal methamphetamine dan penahanan tujuh suspek di wilayah Ratchaburi.

Waran tangkap kemudian dikeluarkan terhadap suspek pada Ogos tahun sama.

Pihak berkuasa Thailand, kemudian merampas aset mewah lelaki itu termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain, yang berada di seluruh Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Jumlah anggaran nilai aset yang dirampas adalah 85 juta baht (RM11.4 juta).

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.