KAHERAH: Rundingan gencatan senjata oleh Hamas dan pengantara untuk menghentikan pertempuran menjelang Ramadan, terputus dan tidak menemui kata sepakat.
Pegawai kanan Hamas, Bassem Naim, berkata pihaknya sudah membentangkan cadangannya untuk perjanjian gencatan senjata kepada pengantara sepanjang dua hari rundingan.
Pihaknya kini sedang menunggu jawapan daripada Israel, yang menjauhkan diri daripada rundingan ini.
“Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak mahu mencapai persetujuan dan bola kini berada di gelanggang Amerika Syarikat (AS) untuk mendesak Israel membuat perjanjian,” kata Naim.
Sumber memberitahu, sebelum ini Israel menjauhkan diri kerana Hamas menolak permintaannya untuk memberikan senarai semua tebusan yang masih hidup.
Naim berkata, tuntutan itu adalah mustahil tanpa gencatan senjata terlebih dulu kerana tebusan bertaburan di zon perang dan dipegang oleh kumpulan berasingan.
Rundingan Kaherah dianggap sebagai cubaan terakhir untuk mencapai gencatan senjata di mana puluhan tebusan akan dibebaskan dan bantuan disalurkan ke Gaza untuk mengelakkan kebuluran menjelang Ramadan, yang akan bermula minggu depan.
Sumber Keselamatan Mesir berkata, mereka masih berhubung dengan Israel untuk membenarkan rundingan diteruskan tanpa kehadiran delegasi Israel.
Washington, yang merupakan sekutu terdekat Israel dan penaja rundingan gencatan senjata, berkata perjanjian yang diluluskan Israel sudah pun dibincangkan dan terpulang kepada Hamas untuk menerimanya.
AS juga menggesa Israel untuk mengurangkan malapetaka kemanusiaan di Gaza, di mana lebih 30,000 orang terbunuh akibat serangan Israel.
Sementara itu, kebuluran kini mencengkam Semenanjung Gaza kerana bekalan bantuan yang dihadkan secara mendadak sejak bermulanya perang kini mula berkurangan sejak sebulan lalu.
Seluruh kawasan di wilayah itu terputus sepenuhnya daripada bekalan makanan.
Sebilangan kecil hospital Gaza yang berfungsi dan dibanjiri oleh mereka yang cedera, kini dipenuhi dengan kanak-kanak yang mati kelaparan.
Jururawat, Diaa Al-Shaer berkata kanak-kanak yang kurus kering itu kini berbondong-bondong masuk ke klinik dalam jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kami akan berdepan sejumlah besar pesakit yang kekurangan zat makanan,” katanya.
Pihak Kesihatan Gaza berkata, kira-kira 15 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan atau dehidrasi di sebuah hospital.
Israel berkata, ia bersedia untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza melalui dua pusat pemeriksaan di pinggir selatan wilayah yang dibenarkan untuk dibuka.
Bagaimanapun, ia menyalahkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan lain kerana gagal mengagihkannya dengan lebih meluas.
Pengarah wilayah Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) untuk Asia Barat dan Afrika Utara, Adele Khodr, berkata ibu bapa dan doktor merasa tidak berdaya dan putus asa apabila menyedari bantuan menyelamatkan nyawa, hanya berada beberapa kilometer namun tidak dapat dicapai. – REUTERS