Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Wanita Islam pertama tamat latihan NASA

0

HOUSTON: Nora AlMatrooshi menjadi wanita Islam keturunan Arab pertama yang lulus latihan angkasawan oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat.

Nora, 30, yang bersedia untuk dihantar ke angkasa berkata, beliau masih ingat pelajaran di sekolah rendah mengenai angkasa ketika gurunya menunjukkan perjalanan olok-olok ke permukaan bulan, lengkap dengan pakaian untuk angkasawan.

Beliau yang memakai tudung menjelaskan, penyelidik NASA membangunkan produk bagi membolehkannya menutup rambut ketika memakai sut angkasa dan topi keledar agensi itu, yang dikenali secara rasmi sebagai Unit Mobiliti Ekstravehikular (EMU).

“Sebaik sahaja anda memakai EMU, anda memakai topi (komunikasi) (dilengkapi dengan mikrofon dan pembesar suara), yang menutup rambut,” katanya.

Katanya, cabaran yang dihadapi untuk menanggalkan tudungnya, sebelum memakai topi komunikasi berkenaan.

Apa yang merumitkan lagi ialah bahan atau jenis kain tertentu yang dibenarkan secara khusus boleh dipakai di dalam EMU.

“Pereka sut akhirnya menjahitkan tudung sementara untuk saya dan boleh memakainya, sebelum menggunakan topi komunikasi. Walaupun ketika itu topi sudah ditanggalkan tetapi rambut saya tetap terlindung. Saya sangat hargai mereka yang melakukan semua ini untuk saya,” kata Nora.

NASA merancang untuk menghantar manusia ke bulan pada 2026 untuk misi Artemis 3.

“Untuk menjadi seorang angkasawan memang sukar, tidak kira apa agama atau latar belakang anda.

“Saya tidak fikir menjadi seorang muslim menjadikan tugas ini lebih sukar. Menjadi seorang Muslim menyedarkan saya mengenai sumbangan nenek-moyang saya, ulama dan saintis Islam sebelum saya yang mengkaji bintang.

“Saya menjadi seorang angkasawan hanya meneruskan tugas mereka memmulakan misi ini beribu-ribu tahun yang lalu,” kata Nora.

Nora ialah seorang jurutera mekanikal yang pernah bekerja dalam industri minyak, menjadi seorang daripada dua calon angkasawan yang dipilih oleh Agensi Angkasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2021 untuk menyertai latihan dengan NASA.

Selepas dua tahun bekerja keras termasuk berlatih di angkasa, beliau bersama rakan senegaranya Mohammad AlMulla dan 10 yang lain dalam latihan itu layak menjadi angkasawan.

Walaupun Nora yang pertama menamatkan pengajian dari NASA, wanita Arab lain turut menyertai misi angkasa lepas secara persendirian, termasuk penyelidik bioperubatan Arab Saudi, Rayyanah Barnawi, yang terbang dengan Axiom Space ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) tahun lalu, dan jurutera Mesir-Lubnan, Sara Sabry, seorang kru dalam penerbangan suborbital Blue Origin 2022. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.