KERAJAAN Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabahdan Sarawak tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.
“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.
Hajiji yang sedang menunaikan ibadah Umrah juga berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak polis mengenai perkara berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis meminta kerajaan Persekutuan supaya tidak menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai ‘tong sampah’ dengan ‘membuang’ penjawat awam bermasalah ke dua negeri berkenaan.
Melalui hantaran laman Facebook rasminya, beliau dengan nada kesal mengatakan Sabah dan Sarawak tertinggal dari segi kemudahan malah penjawat awam bermasalah juga dihantar ke negeri itu.
“Tolonglah Federal (Persekutuan), Sabah Sarawak bukannya tong sampah.
“Sudahlah kami tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi (beri) kami orang yang bermasalah,” tulisnya pada Selasa.
Tambah beliau lagi, Sabah mungkin tidak akan maju jika dilayan sedemikian.
“Sampai bila kami mahu maju? Berhenti layan kami seperti ini,” katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini melaporkan sembilan anggota polis terlibat kes peras ugut ditukar ke Sabah dan Sarawak.
Sembilan anggota berkenaan disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor.
Di Sarawak, kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan untuk menolak ‘cadangan’ untuk menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘yang bermasalah’ untuk bertugas di negeri itu.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, secara dasarnya, Sarawak menyambut baik usaha PDRM untuk menambah bilangan anggotanya bagi tujuan memantapkan kawalan keselamatan di negeri ini.
“Namun kita berharap PDRM akan menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas sebarang siasatan jenayah,” jelas pejabat berkenaan menerusi kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu menyusul susulan laporan akhbar berkenaan semalam yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato S Sasikala Devi bahawa sembilan orang anggota polis yang terlibat dalam kes peras ugut baru – baru ini akan ditukarkan ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.