Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Singapura jadi destinasi pilihan penjenayah buruan dari Indonesia?  

0

JAKARTA: Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly mendakwa Singapura sering menjadi destinasi terakhir atau tempat transit bagi penjenayah yang disyaki melarikan diri dari republik itu.

Yasonna mendedahkan perkara itu ketika menyuarakan pandangan kerajaan dalam satu mesyuarat bagi menyetujui ratifikasi rang undang-undang perjanjian ekstradisi antara Indonesia-Singapura di Dewan Perwakilan Rakyat.

“Kami mendapati Singapura kerap menjadi destinasi terakhir atau tempat transit  kebanyakan penjenayah yang disyaki,” katanya seperti dilaporkan oleh CNN Indonesia.

Menurut beliau, situasi itu boleh difahami memandangkan Singapura tersenarai sebagai antara negara membenarkan perjalanan tanpa visa bagi pelawat dari Indonesia.

Jelasnya, perjanjian ekstradisi antara Indonesia dan Singapura juga tidak dapat dipisahkan berikutan dipengaruhi oleh geografi atau kedudukan kedua negara itu yang bersebelahan.

Sementara itu, Yasonna berkata, ratifikasi perjanjian ekstradisi antara dua negara itu juga akan memudahkan pihak berkuasa Indonesia menahan penjenayah disyaki yang melarikan diri ke Singapura.

Perjanjian itu turut mengawal selia beberapa perkara termasuk persetujuan pihak berkaitan untuk melaksanakan proses ekstradisi, perbuatan jenayah yang boleh diekstradisi, alasan ekstradisi dan pengurusan menyerahkan suspek.

“Jadi, kerajaan Indonesia perlu melakukan tindakan susulan berhubung ratifikasi perjanjian ekstradisi mengikut peruntukan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Nombor 24 mengenai Perjanjian Antarabangsa,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.